BERITA

Lelaki Didenda RM10,000 Beri Anak Saudara 5 Tahun Minum Air Ketum, Rakam Video & Kongsi Di Media Sosial

Gempak 25/02/2025 | 05:20 MYT
"Saya janji selepas ini tak ulang lagi perbuatan itu," demikian rayuan seorang pekerja pendawaian elektrik ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Batu Pahat hari ini, atas pertuduhan menganiayai anak saudara perempuan dengan memberi minum air ketum dan merakamnya sebelum dimuat naik video ke media sosial, November lalu.
Tertuduh, Muhammad Sahrul Naim Kasmo, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Osman Affendi Mohd Shalleh, sebelum dikenakan denda RM10,000 atau penjara 20 bulan.
Tertuduh membayar denda yang dikenakan.
Selain, mahkamah juga memerintahkan tertuduh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dengan cagaran RM2,000 selama dua tahun serta khidmat masyarakat 120 jam dalam tempoh enam bulan bermula dari tarikh perintah dikeluarkan.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa menganiayai kanak-kanak perempuan berusia lima tahun secara menyuruh mangsa meminum racun jenis mitragynine (air ketum).
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah dekat Rengit pada jam 10.51 malam, 2 November tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama, denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (2) sebagai tambahan hukuman dengan boleh dikenakan bon berkelakuan baik selama tempoh ditetapkan mahkamah dan khidmat masyarakat tidak melebihi 240 jam secara agregat dalam tempoh enam bulan.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak perempuan disuruh meminum air ketum.
Siasatan polis terhadap video terbabit membawa kepada penahanan tertuduh di sebuah rumah di Rengit, pada jam 8.30 malam, 4 November tahun lalu. Penahanan itu membolehkan polis merampas telefon dan sebotol air ketum.
Hasil pemeriksaan dalam telefon bimbit menemui video kanak-kanak disuruh minum air ketum sama seperti tular di media sosial.
Video dan air ketum itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik dan Jabatan Kimia dengan laporan diperoleh mendapati video terbabit disahkan sama seperti ditularkan, manakala air ketum itu didapati mengandungi racun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dalam hujahan pemberatan memberitahu, ia bukan kesalahan remeh yang mana mungkin dilihat kecil dari pandangan tertuduh sebaliknya serius kerana membabitkan keselamatan dan nyawa kanak-kanak.
Sumber: Berita Harian
#Minum #“Anak #didenda #“Air #Ketum” #Saudara”