Laman Utama
Lelaki Ini Dibayar Untuk Tidak Melakukan Apa Apa
Dunia semakin aneh atau keanehan sentiasa ada di pelusuk dunia.
Pada saat banyak orang yang bergelut dengan kehidupan kerana terpaksa bekerja dengan gaji tidak setimpal, lain pula halnya dengan kisah seorang pemuda dari Jepun ini.
Shoji Morimoto, begitu nama seorang pemuda dari Tokyo yang menyewakan dirinya kepada individu yang memerlukan teman. Meski demikian, Morimoto hanya akan menjadi teman tanpa perlu bercakap atau menghiburkan kliennya.
Secara ringkasnya, Morimoto memberikan servis untuk tidak melakukan apa apa!
Dia hanya perlu melambaikan tangan kepada klien yang ingin menaiki keretapi atau duduk di hadapan mereka yang menikmati makanan.
Menurut laporan BBC, dia mencipta pekerjaan menemankan klien tanpa berbual atau seumpamanya kepada mereka yang tidak mahu keseorangan.
Meski nampak pelik, pekerjaan Morimoto menerima permintaan yang tinggi. Dia mengaku menerima sehingga tiga tempahan setiap hari hanya untuk duduk di sebelah, berjalan atau menemankan kliennya yang keseorangan.
Morimoto menyatakan dia menyediakan servis tersebut untuk membuktikan kepada dunia bahawa tidak melakukan sesuatu yang kelihatan produktif juga adalah sebuah perlakuan ringkas yang diperlukan oleh manusia pada masa kini yang kebanyakannya mengalami tekanan serta perlu dihargai.
“Saya fikir apabila seseorang berada dalam keadaan gundah, mereka mungkin ingin seseorang atau teman yang tidak perlu bercakap atau berbuat apa apa kecuali berada di sisi mereka,” katanya dalam satu temubual dengan media antarabangsa sebelum ini.
Morimoto, 38, mengenakan bayaran sebanyak RM380 untuk setiap sesi bersama kliennya dan mendapat banyak tempahan terutama pada musim pandemik COVID 19 yang melanda dunia sekitar dua tahun lalu.
Foto: BBC