BERITA
Lelaki Jatuh Landasan LRT Cedera Parah Di Kepala
Seorang lelaki cedera parah selepas dipercayai terjatuh ke landasan tren di Stesen transit aliran ringan (LRT) Subang Alam, Subang Jaya pada pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian sekitar pukul 8.07 pagi.
“Setibanya di lokasi, terdapat seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun telah terjatuh di bahagian landasan tren.
“Mangsa telah dibawa naik oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mangsa diberi rawatan awal oleh Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi.
Terdahulu, perkhidmatan tren di Laluan Kelana Jaya dilaporkan mengalami gangguan apabila seorang individu menceroboh masuk ke landasan tren di Stesen LRT Subang Alam sekitar pukul 8.02 pagi.
Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dalam kenyataan berkata, pasukan penyelamat telah digerakkan ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
Sumber - KOSMO ONLINE!