Sepasukan anggota bomba terpaksa bertindak memotong kunci mangga dan mengumpil pintu sebuah rumah bagi menyelamatkan seorang wanita serta dua anaknya yang dikurung suaminya yang dipercayai mengalami tekanan perasaan.

Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zainurin Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan aduan pada pukul 8.51 malam semalam dan tiba di lokasi kejadian iaitu di Taman Nusa Intan, Seremban, Negeri Sembilan sekitar sembilan minit kemudian.

"Kami mendapat laporan seorang lelaki bertindak mengunci pagar, grill dan pintu belakang rumahnya dari dalam kerana tertekan tidak mempunyai pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami pada mulanya cuba memujuk lelaki itu tetapi selepas lebih kurang 15 minit dan melihat dia tidak mahu beralah, kami mula mengumpil pintu pagar dan grill rumah berkenaan. Kami terpaksa memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut," katanya.

Menurut Zainurin, anggotanya juga dimaklumkan, wanita itu ada mengadu kepada jirannya tentang kejadian tersebut sebelum suaminya itu mengalami tekanan lebih teruk dan abang kandungnya terpaksa datang dari Mambau, dekat sini untuk memujuk.

"Kami menyelamatkan wanita itu dan anak-anaknya yang berusia empat bulan dan lebih setahun. Mereka dihantar ke rumah jiran terdekat. Kami dimaklumkan kesemuanya tidak makan sejak pagi.

"Tiada sebarang kecederaan yang berlaku ketika kejadian dan lelaki itu diserahkan kepada polis," katanya.

Sumber: Utusan Online