Berita

Lelaki Lingkungan 30-An, Berkulit Cerah Antara Ciri-Ciri Suspek Insiden Tembakan

gempak
Awani
09/02/2025
03:21 MYT
Sponsor Banner
Lelaki Lingkungan 30-An, Berkulit Cerah Antara Ciri-Ciri Suspek Insiden Tembakan
Polis sudah mengenal pasti suspek terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis mengenal pasti seorang suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.
“Suspek adalah seorang lelaki warga tempatan, berusia lingkungan 30-an dan berkulit cerah,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihak polis dalam usaha mengesan dan menangkap suspek yang juga mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Motif kejadian masih dalam peringkat siasatan,” katanya lagi.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Tambah beliau, insiden berlaku sekitar jam 10.50 malam yang mana Balai Polis Seksyen 6 menerima maklumat daripada orang awam mengenai tembakan di pusat beli-belah tersebut.
“Siasatan mendapati mangsa, seorang pekerja pembersihan di pusat beli-belah itu, sedang menyimpan peralatan pembersihan di Aras P1 bangunan sebelum suspek tiba-tiba melepaskan empat das tembakan, mengenai kaki dan punggungnya.
"Walaupun cedera, mangsa dapat melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri ke Aras P2.
"Di situ, suspek melepaskan beberapa tembakan ke arah tingkap tangga dan pintu gelangsar sebelum melarikan diri," katanya.
Dalam pada itu, suspek kemudian merampas sebuah Perodua Ativa yang dipandu oleh seorang pengunjung pusat beli-belah dengan mengacukan senjata api dan memaksa pemandu membawanya keluar dari Shah Alam.
Berikutan kejadian itu, polis telah menerima tujuh laporan daripada saksi yang kesemuanya tampil memberi keterangan.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah di 03-5520 2222.
Sumber - AWANI
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024