Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lelaki Mati Selepas Kerja 104 Hari, Cuti Rehat Sehari

Khairil Khusyairi
08/09/2024 07:25 MYT

Seorang lelaki berusia 30 tahun di timur negara China meninggal dunia akibat kegagalan organ berikutan bekerja 104 hari dengan hanya satu hari cuti rehat.

Kegagalan Organ

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), mahkamah di wilayah Zhejiang, baru-baru ini memutuskan bahawa syarikat itu bertanggungjawab 20 peratus terhadap kematian lelaki terbabit, yang dikenal pasti sebagai A'bao, lapor Guangzhou Daily.

Mahkamah mendapati bahawa A'bao meninggal dunia akibat kegagalan beberapa organ akibat jangkitan pneumokokal, yang sering dikaitkan dengan kelemahan sistem imun.

Insiden itu mencetuskan kemarahan yang meluas di China dan polemik mengenai cara pekerja dilayan di negara republik itu.

Hanya Satu Hari Rehat

Pada Februari tahun lalu, A'bao menandatangani kontrak untuk bekerja sebagai pelukis bagi sebuah syarikat yang namanya tidak didedahkan oleh mahkamah.

Kontrak itu untuk tempoh sehingga Januari tahun ini. Dia kemudiannya ditugaskan untuk satu projek di Zhoushan di wilayah Zhejiang di timur China.

A'bao bekerja setiap hari selama 104 hari dari Februari hingga Mei tahun lalu, dengan hanya satu hari rehat pada 6 April 2023. Pada 25 Mei tahun itu, dia mengambil cuti sakit kerana berasa tidak sihat dan menghabiskan hari itu berehat di rumahnya.

Pada 28 Mei tahun lalu, keadaan A'bao semakin merosot. Dia dikejarkan ke hospital oleh rakan sekerjanya, di mana dia didiagnosis dengan jangkitan paru-paru dan kegagalan pernafasan. Dia meninggal dunia pada 1 Jun 2023.

Semasa siasatan awal kematiannya, pegawai keselamatan sosial berkata, waktu kematian lebih 48 jam antara penyakit A'bao dan kematiannya dan ia tidak boleh diklasifikasikan sebagai kecederaan berkaitan kerja.

Keluarganya kemudian memfailkan saman untuk pampasan, mendakwa kecuaian majikan.

Sebagai tindak balas, syarikat itu berhujah bahawa beban kerja A'bao boleh diurus dan sebarang kerja lebih masa adalah secara sukarela.

Syarikat seterusnya berhujah bahawa kematiannya berpunca daripada masalah kesihatan yang sedia ada dan kekurangan campur tangan perubatan tepat pada masanya, yang memburukkan keadaannya.

Mahkamah memutuskan bahawa kapasiti A'bao untuk bekerja selama 104 hari berturut-turut adalah pelanggaran jelas Undang-Undang Buruh China yang mewajibkan tempoh maksimum bekerja dalam sehari adalah lapan jam, dan puratanya, 44 jam seminggu.

Mahkamah kemudian mengarahkan pihak terbabit membayar pampasan 400,000 yuan (kira-kira RM244,412) kepada keluarga pekerja terbabit. Jumlah itu termasuk 10,000 yuan (kira-kira RM6,110) untuk tekanan emosi yang disebabkan oleh kematian lelaki itu.

Sumber: South China Morning Post

#Mati #Kerja #Lelaki #Rehat #Cuti #Kegagalan #Organ #Imun #Sehari
;