BERITA
Lelaki Maut Lepas Pertama Kali Sertai Pertandingan Muay Thai
Seorang British berusia 30 tahun meninggal dunia selepas jatuh sewaktu menyertai pertandingan pertamanya dalam sukan tinju May Thai di Thailand.
Mangsa telah mengikuti pertandingan Muay Thai di Samui International Muay Thai Stadium, di Koh Samui, Wilayah Surant Thani pada malam Jumaat.
Namun sewaktu pusingan ketiga, pengadil menghentikan pertandingan selepas lelaki tersebut menerima tendangan pada bahagian rusuk kanan, seperti dilaporkan Khaosod English.
Lelaki tersebut kemudian dilihat berjalan keluar gelanggang, membuka sarung tangan namun memberitahu rasa tidak sihat. Saksi mendakwa dia mengalami kekejangan otot, pernafasan menjadi tidak teratur selain bola matanya tidak berada pada kedudukan betul.
Hanya selepas beberapa detik dia jatuh, jantungnya berhenti berdegup. Dia kemudian dikejarkan ke hospital berhampiran oleh jurulatihnya namun disahkan meninggal dunia pada malam yang sama.
Bagaimanapun pihak berkuasa belum menemui punca kematian lelaki tersebut kerana menunggu hasil autopsi daripada hospital besar, Hopsital Koh Samui, lapor Independent.
Muay Thai yang juga terkenal sebagai ‘the art of eight limbs’ merupakan sukan aksi yang membabitkan tangan, lutut, siku, tulang kering sewaktu bertarung. Ia merupakan sukan yang sangat popular di Thailand.
Must-Watch Video