Lelaki Nekad Selamatkan Kucing Dari Kebakaran, Netizen Tabik Sebab Berani Redah Api Marak - “Bukan Semua Orang Sanggup”
Tular kini di media sosial sebuah rakaman video memaparkan seorang lelaki berani menyelamatkan sekumpulan kucing dari kebakaran baru-baru ini.
Redah Api Marak Selamatkan Si Bulus
Menerusi perkongsian di TikTok milik karlzidane, kedengaran bunyi kucing mengiau kuat seolah-olah meminta pertolongan di tengah-tengah api yang sedang marak.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku di sebuah tempat perlindungan kucing jalanan yang terletak di Taman Perling, Johor Bahru.
Apa yang membuat ramai kagum adalah, lelaki dalam video berkenaan bertindak nekad dengan memanjat pagar untuk mengalihkan kucing-kucing yang terperangkap dalam sangkar.
Video berdurasi kurang 30 saat itu turut memaparkan individu lain juga tampil membantu, memastikan kesemua haiwan tersebut berjaya diselamatkan sebelum api merebak lebih teruk.
Netizen Kagum Keberanian
Menjengah ke ruangan balas rata-rata netizen kagum dengan keberanian individu-individu tersebut.
“Salute bro! Bukan semua orang sanggup pertaruhkan nyawa demi haiwan,” komen netizen.
“Kalau hero Marvel selamatkan manusia, abang ni pula hero penyelamat kucing! Respek!” tulis netizen lain.
“Ya Allah the real hero. Kesiannya ya Allah,” tulis netizen lagi.
“Abang sanggup tahan haba panas demi selamatkan kucing-kucing tu, mulia hati kau bang,” tulis netizen sebak.
“Ya Allah, baiknya dia dengan api marak tetap berusaha keluarkan kucing. Terima kasih orang baik. Semoga hidupmu sentiasa dilimpahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan,” komen seorang netizen.
Menurut pemilik akaun TikTok tersebut, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian tidak lama selepas video itu dirakam untuk memadamkan kebakaran.
Setakat ini, punca kebakaran masih belum dikenal pasti.