Lelaki OKU Maut Jatuh Landasan LRT Titiwangsa
Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) penglihatan maut selepas terjatuh di kawasan landasan LRT Titiwangsa sebelum digilis tren LRT, pada pagi Sabtu.
"Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 08:38 pagi melalui sistem MERS-999 yang memaklumkan mengenai penemuan mayat di bawah rel keretapi," katanya dalam satu kenyataan.
Susulan kejadian, Balai Jagaan BBP Sentul dan Balai Bantuan BBP Titiwangsa dikerah ke lokasi.
"Proses pengalihan mayat dari lokasi kejadian sedang dilaksanakan dengan teliti oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan proses penyiasatan yang lancar," katanya.
Sementara itu, Rapid Rail berkata, perkhidmatan tren di Stesen LRT PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur digantung sementara susulan kejadian.
“Sebagai langkah keselamatan, pihak operasi telah menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen tersebut bagi memberi laluan pada pihak polis, bomba dan ambulans yang sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.
“Perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi," kata kenyataan itu lagi.