Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lelaki Perempuan Bergaul Bebas, Dakwa Ada Roh Rasul Dalam Diri, Ajaran Cahaya Disekat!

Gempak
05/10/2024 09:30 MYT
Mengaku di dalam dirinya ada roh kudus yang merujuk kepada roh semua rasul dan menganggap sudah mencapai darjat yang tinggi sehingga tidak perlu beribadat.

BACA SINI: GISB: Buku Al-Arqam, Jadual Zikir Aurad Muhammadiyah Cuba Ditanam & Dibakar, Dirampas

Ajaran yang dikenali sebagai Ajaran Cahaya didalangi seorang lelaki ini lebih banyak disebar menerusi media sosial, yang mana ahlinya di aplikasi Telegram mencecah 5,000 orang.

Lebih menggerunkan, ahli atau pengikut ajaran dikatakan suci dengan penyatuan cahaya dan tidak bernafsu, menyebabkan pergaulan bebas antara lelaki dan wanita.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, hasil risikan mendapati ajaran berkenaan bertapak di Kuala Pilah sejak setahun lalu.

Bagaimanapun katanya, kegiatan kumpulan berkenaan sedikit terencat apabila guru mereka iaitu lelaki warga Singapura dan orang kanannya seorang wanita tempatan ditahan, semalam.

BACA SINI: Pernah Terlibat Dengan Ajaran Sesat, Pablo Amirul Kesal, Harap Kisah Hidup Jadi Tauladan Ramai - “Saya Terlalu Percaya Cinta..”

"Hasil risikan dan siasatan yang kami lakukan, dua suspek ini ditahan di Muadzam Shah, Pahang kira-kira 9.30 pagi tadi dalam operasi bersama polis. Mereka dalam perjalanan ke Terengganu.

"Kedua-dua suspek masing-masing berusia 42 dan 60 tahun itu dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk tindakan lanjut," katanya ketika sidang media, hari ini.

Tambah beliau, suspek disiasat mengikut Seksyen 52 dan 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mengajar ajaran salah dan mengajar agama tanpa tauliah.

"Daripada maklumat yang kami terima, kebanyakan pengikut terpedaya dengan 'guru' berkenaan kerana pada mulanya mengajar agama yang betul, namun lama-kelamaan mula menyeleweng.

"Ada pengikut yang sedar dan keluar daripada ajaran berkenaan dan kami difahamkan, jumlah pengikut kini berkurangan, namun terdapat seorang wanita yang berperanan menarik ahli baharu," katanya.

Jelas beliau lagi, lelaki berkenaan turut mengaku kali terakhir solat fardu lima waktu pada 2021, yang mana dia menganggap dirinya tidak perlu melakukan apa-apa ibadah.

"Dia mengaku urat dan darahnya sudah berzikir dan dia tidak perlu lagi beribadat seperti solat, puasa dan sebagainya. Pengikut juga diajar untuk mencapai darjat tertinggi itu.

"Disebabkan itu, mereka berpelukan antara lelaki dan wanita kerana menganggap diri sudah suci daripada dosa dan tidak mempunyai nafsu serta bercahaya," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang jelas menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan hukum syarak itu dan berkemungkinan ada suspek lain yang bakal ditahan.

BERITA TRENDING: Mengaku Diri 'Dewa', Songlap Duit RM47 Juta, Paksa Pengikut Makan Najis & Cabut Gigi, Pemimpin Ajaran Sesat Dihukum Penjara 10.5 Tahun!


Sumber: Harian Metro
#Viral #Telegram #Bebas #Sekat #Nafsu #Ajaran Sesat #Kuala Pilah #Roh #Ajaran Cahaya #Rasul
;