Dua hari lalu, tular sepotong video berdurasi 43 saat memaparkan seorang lelaki menyerang warga emas menggunakan topi keledar di sebuah stesen minyak.

Menerusi video yang tersebar menerusi aplikasi Whatsapp dan laman sosial Facebook itu, sebuah kereta dan motosikal berhenti di pam petrol yang sama.

Bagaimanapun pertengkaran kecil telah berlaku sebelum lelaki bermotosikal dilihat menghayun topi keledarnya ke arah warga emas yang juga pemandu kereta.

Tinjauan Gempak di media sosial Facebook mendapati, rata-rata warganet mahu lelaki tersebut ditangkap dan mendapat hukuman setimpal kerana melakukan kekerasan.

Mereka juga tidak mahu pembuli jalan raya bebas melakukan sesuka hati sehingga mencederakan orang lain.

Sementara itu dalam sebuah kenyataan media, suspek yang mencederakan pemandu kereta tersebut dikatakan telah pun ditahan reman pada 14 November lalu, hari yang sama dia menyerang warga emas berkenaan.

Difahamkan tempoh reman bermula sejak Ahad lalu sehingga hari ini, 16 November.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abd Shukor berkata, polis berjaya menahan suspek berusia 38 tahun itu yang bekerja sebagai pemandu peribadi dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah pada tahun 2010 dan masih dikehendaki polis berhubung kes tersebut.

Suspek dalam keterangannya mendakwa tidak puas hati kerana kereta mangsa memintas motosikalnya dan bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.

Mangsa, seorang warga emas berusia 64 tahun telah menerima rawatan hospital.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendantangkan cedera menggunakan senjata.