BERITA

Lelaki Rogol Ibu Kandung, Anggap Sebagai 'Hukuman'

Gempak 19/08/2025 | 11:55 MYT

Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis selepas didakwa merogol ibunya yang berusia 65 tahun sebanyak dua kali dengan alasan mahu menghukumnya atas dakwaan hubungan silam wanita itu.

Menurut polis, mangsa ditemani anak perempuannya yang berusia 25 tahun hadir ke Balai Polis Hauz Qazi untuk membuat laporan pada 15 Ogos 2025 lalu.

Dalam aduan tersebut, wanita berkenaan memaklumkan bahawa dia tinggal bersama suaminya yang juga pesara kerajaan, suspek serta seorang anak perempuan bongsu di kawasan Hauz Qazi, Delhi.

Pada 17 Julai lalu, mangsa bersama suami dan anak perempuannya berlepas ke luar negara. Sepanjang ketiadaan mereka, suspek menghubungi bapanya dan mendesaknya pulang segera ke Delhi selain menuntut supaya menceraikan ibunya.

Dia turut menuduh ibunya mempunyai hubungan sulit ketika zaman remajanya.

Selepas keluarga itu pulang pada 1 Ogos, suspek bertindak mengurung ibunya di dalam sebuah bilik. Dia turut menuduh wanita itu telah 'merosakkannya' sejak kecil.

Mangsa kemudian melarikan diri dan menumpang di rumah anak perempuannya yang sulung. Namun, apabila kembali ke rumah pada 11 Ogos, penderaan itu berulang.

Pada malam berkenaan sekitar jam 9.30 malam waktu tempatan, suspek meminta untuk bercakap secara peribadi dengan ibunya sebelum sekali lagi mengurungnya di dalam bilik dan merogolnya, sambil mendakwa itu adalah hukuman atas 'kejahatan' hubungan silam mangsa.

Lebih parah, pada 14 Ogos sekitar jam 3.30 pagi waktu tempatan, suspek sekali lagi merogol ibunya.

Keesokan harinya, mangsa menceritakan kejadian itu kepada anak perempuannya yang bongsu, sebelum kedua-duanya tampil membuat aduan rasmi di Balai Polis Hauz Qazi.

Berdasarkan aduan tersebut, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 64 (rogol). Suspek telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: Sinar Harian

#Anak #Rogol #Ibu Kandung