Cubaan seorang lelaki yang sedang dikuarantin akibat COVID-19 melarikan diri dari
Hospital Alor Setar (HAS) gagal selepas ditahan pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 11.15 pagi itu, lelaki itu dipercayai melarikan diri dari wad HAS, sebelum pengawal keselamatan bertugas terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Pasukan Pemantau COVID 6, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bersama pengawal keselamatan, berjaya mengesan dan mengepung pesakit terbabit di kawasan taman berdekatan Wisma Darul Aman.

Siasatan mendapati lelaki berusia 38 tahun itu adalah pesakit wad psikiatrik di HAS sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Md Noor, berkata pagi ini adalah kali kedua lelaki itu cuba melarikan diri, selepas kali pertama melakukannya jam 9.15 malam tadi tetapi berjaya ditemui anggota balai bergerak dan pengawal keselamatan di penjuru pagar HAS.

Beliau berkata, pesakit itu bertindak melarikan diri untuk pulang ke rumahnya di Kepala Batas, di sini.

"Pesakit ini mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun, namun hasil maklumat pesakit ini pernah beberapa kali cuba melarikan diri dari wad psikiatrik ketika ditahan di situ termasuk cubaan melarikan diri melalui siling wad dan bertindak agresif.

"Namun dalam kejadian ini tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan kejadian berjaya ditangani dengan baik," katanya.

Katanya, lelaki itu kemudian dihantar ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana perlu menjalani pembedahan apendiks.

"Ketika ditahan di wad ICU HSB, pesakit menjalani saringan COVID-19 berikutan ada pesakit lain di wad itu didapati positif COVID-19."Selepas saringan awal, pesakit itu didapati negatif, namun dihantar ke HAS untuk proses kuarantin bermula 31 Ogos hingga 12 September ini.

"Bagaimanapun lelaki itu tidak memakai gelang merah jambu seperti yang ditular," katanya ketika dihubungi.

Berikutan itu, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpakaian pelindung diri (PPE) khas terpaksa hadir bagi membawa pesakit pulang ke wad dengan menaiki ambulans khas.

Sumber: BH Online
Foto: The Edge Markets