Seorang lelaki yang dipercayai pesakit mental telah ditahan polis selepas bertindak menunjukkan kemaluannya kepada tiga orang jurujual wanita di sebuah premis menjual alat telekomunikasi di Jalan Pintu Pong, kelmarin.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris berkata, lelaki yang berusia 26 tahun itu ditahan selepas menerima laporan daripada salah seorang mangsa berusia 31 tahun yang berada di lokasi kejadian.

"Mangsa secara tiba-tiba didatangi oleh lelaki terbabit dalam keadaan separuh bogel sambil memegang kemaluannya.

"Lelaki terbabit kemudian melompat di atas kaunter dan masuk ke dalam kawasan kedai. Terkejut melihat tindakan itu, ketiga-tiga jurujual itu terus keluar dari kedai dan menghubungi pihak polis," katanya.

Ketika kejadian dalam pukul 2.30 petang, mangsa bersama dua rakannya sedang bekerja di kaunter premis tersebut.

Tambah Wan Khairuddin, selepas menerima maklumat, polis segera menjalankan gerakan mengesan lelaki terbabit dan berjaya menahannya kira-kira 10 minit kemudian berhampiran dengan lokasi kejadian.

Kemudiannya, suspek terus dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati suspek tinggal bersama keluarga di rumahnya yang terletak berhampiran kedai berkenaan.

"Sebelum ini, lelaki itu pernah dirawat di HRPZ II kerana mengalami masalah kemurungan dan mental malah dia juga baru seminggu keluar dari wad hospital," katanya lagi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perbuatan mengaibkan.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman sebuah video berdurasi lebih dua minit yang memaparkan perbuatan aneh seorang lelaki yang menunjukkan kemaluannya kepada tiga orang jurujual wanita di sebuah premis menjual alat telekomunikasi.


Sumber & Foto: Kosmo