BERITA

Lelaki Tikam Rakan, Tersinggung Lagu Dinyanyikan Seperti Menyindir

Gempak 08/02/2025 | 01:55 MYT
Seorang lelaki hilang kawalan apabila bertindak menikam kenalannya hanya kerana berasa tersinggung dengan lagu dinyanyikan rakannya itu di sebuah pesta perkahwinan yang didakwa menyindirnya.
Kejadian berlaku di Dusun Kampung I, Desa Mekar Sawit, Kecamatan Sawit Seberang, Kabupaten Langkat, Sumatera Utara, Indonesia.
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Langkat, AKP Rajendra Kusuma, pembunuhan yang berlaku pada Disember tahun lalu itu akhirnya dapat dipastikan motifnya iaitu kerana sakit hati.
"Hasil siasatan pihak kami, terungkap kejadian bermula ketika mangsa, Ajuanda Ginting Munte sedang menyanyi di kenduri kahwin tetangga.
"Pelaku yang mendengar lagu itu menganggap lagu nyanyian mangsa sebagai satu bentuk ejekan terhadapnya. Dalam keadaan beremosi pelaku mengambil pisau naik ke pentas dan menikam mangsa sebanyak lapan kali," katanya kepada wartawan pada Sabtu lalu.
Jelasnya lagi, selepas menikam mangsa, pelaku terus melarikan diri dari tempat kejadian, sementara penduduk yang melihat insiden itu segera membantu membawa mangsa ke hospital.
Bagaimanapun lelaki terbabit disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Pelaku kini sedang menjalani perbicaraan di mahkamah.
Sumber: Sinar Harian
#Sakit #Lagu #Hati #Kawan #Lelaki #Sindir #Tikam