HIBURAN

Lemah Semangat Sejak Kecil, Nadiya Nissa Takut Bawa Watak Sebagai Hantu - “Tapi Saya Terbuka…”

Umirah Halim 28/02/2025 | 07:55 MYT

Gara-gara lemah semangat, pelakon, Nadiya Nissa mengakui tidak akan membawa watak sebagai hantu.

Kata pemilik nama penuh Nadiyatul Nisaa Kamaruddin itu naskhah bergenre seram akan menjadi pilihan terakhirnya untuk berlakon.

“Sudah semestinya tidak (berlakon sebagai hantu). Untuk genre seram saya meletakkan tangga terbawah sekali jadi kalau ditawarkan sekali lagi memang banyak syarat-syaratnya.

“Saya akan fikir saya selesa atau tidak untuk melakonkan sebuah naskhah genre seram.

“Sepanjang pengalaman saya berlakon, saya tidak pernah berhadapan dengan situasi kena kacau dengan hantu dan sebagainya. Cuma memang saya lahir-lahir dah jadi penakut,” katanya ketika ditemui pasa majlis pelancaran filem Polong di Petaling Jaya pada Khamis.

Sementara itu, ketika disoal mengapa bersetuju untuk membintangi filem genre seram Polong ini, aktres berusia 39 tahun itu memaklumkan bahawa dia yakin dengan hasil kerja dan kredibiliti pengarah Zulkarnain Azhar.

“Apabila saya dah tahu saya lemah semangat, saya tidak mahu terlalu terbawa dengan perkara sebegitu. Jadi saya sudah letak titik nokhtah untuk tapis berlakon filem seram.

“Tetapi dengan pengarah ini saya sudah pernah bekerjasama, saya juga yakin pengarah akan memberikan hasil yang baik. Jadi pujukannya lain sedikit.

"Sebagai seorang pelakon, saya terbuka sekiranya saya tidak selesa dengan watak itu jika sebaliknya juga saya akan komunikasi bersama pengarah,” ujarnya lagi.

Baca doa pelindung

Pelakon filem Imaginur itu juga mengakui akan membaca doa sebelum dan semasa berada di set penggembaraan agar dilindungi dari segala kejahatan.

“Untuk pengalaman saya yang pertama, saya tanya dekat kawan saya yang kenal ustaz untuk bagi doa pelindung untuk saya. Jadi bila nak pergi ke lokasi, ketika di set saya akan baca doa itu, berzikir.

“Selain itu, saya juga akan berada si set awal, jadi saya boleh nampak persiapan untuk set lakonan, special effect untuk watak yang jadi hantu untuk kurangkan rasa seram,” ujarnya.

Selain Nadiya, Polong menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron dan June Lojong dan akan memulakan penggambaran pada bulan Mei ini.

Naskhah berkenaan dijangka masuk panggung pada 2026.

Sinopsis Polong

Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang hidup dengan amalan ilmu hitam dan dosa lampaunya, namun cuba mencari keampunan ketika akhir hayatnya.

Sehinggakan dia terpaksa melepaskan polong belaan kepada orang yang tidak sepatutnya, tetapi polong berkenaan ingin membalas dendam selepas kematian Maria dan sumpah laknatnya perlu dihadapi oleh pewaris Maria.

BERITA TRENDING: Teruja Berada Di Malaysia, Fuji Puji Sikap Peminat Yang Sopan-Santun - “Jika Mahu Bergambar Mereka Minta Izin…”

BERITA TRENDING: "Tak Solat Ke Datin?" - Netizen Persoal Ibadah Intan Najuwa, Ini Jawapan Tegas Empunya Badan

#Filem #Hantu #Nissa #Takut #Nadiya