Aktor hebat Datuk Rosyam Nor mencuri perhatian ramai apabila mengadakan sesi perjumpaan semula bersama pelakon-pelakon filem popular lakonannya pada tahun 1986, Gila-Gila Remaja.

Menerusi laman sosial Instagram, Rosyam memuat naik sebuah video sewaktu pertemuan semula bersama pelakon-pelakon filem tersebut untuk tatapan umum.

“Gila-Gila Remaja selepas 37 tahun. Gembira dapat jumpa semua,” tulis Rosyam di ruangan kapsyen.

Menerusi perkongsian video berdurasi hampir satu minit itu, Rosyam memperkenalkan barisan pelakon asal filem popular remaja tersebut antaranya Faizal Ahmad, Amy Alias, Feezy Alhady, Hamid Ali, Nik Marini serta hero pujaan ramai, Faizal Hussein.

A post shared by Rosyam Nor (@iamrosyam)


Sementara itu di ruangan komen, perjumpaan semula itu ternyata mengimbau memori wargamaya yang membesar dengan menonton filem tersebut.

Tidak terkecuali ada yang mahu melihat Gila-Gila Remaja versi 2022 dilakonkan semula oleh pelakon-pelakon yang sama.

“Lepas 37 tahun berkumpul, memang banyak benda cerita,” komen seorang wargamaya.

“Datuk, alang-alang dah bertemu tu apa lagi, buat la gila-gila remaja 2022,” cadang seorang wargamaya.

“Wow meremang bulu roma saya datuk. Dan rasa sayu pun ada. Filem idola ni,” ujar seorang wargamaya.

“Tak cukup korum. Suziana, Chin dengan Farouk je yang takde. Apa pun, reunion yang sangat bermakna. Mengimbau kenangan dulu. Semoga semuanya sihat selalu. Gila-Gila Remaja Best!” luah seorang wargamaya.

“Bestnya! Saya membesar dengan cerita ni. Hehehe gilalah boleh hafal semua dialog dalam tu,” tulis seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 120,000 tontonan daripada pengikutnya.