Hiburan
Lepas Kahwin... Raqib Majid Tinggal di KL, Tasha Manshahar Menetap di Melaka
Penyampai radio ZAYAN, Raqib Majid masih dalam perancangan untuk tinggal serumah bersama isterinya, Tasha Manshahar.
Raqib atau nama sebenarnya, Fahrur Raqib Abdul Majid berkata, mereka kini tinggal berjauhan biarpun sudah mendirikan rumah tangga pada bulan lalu.
"Bertugas sebagai seorang guru, Tasha masih tinggal berjauhan dengan saya kerana dia mengajar di Melaka.
"Memandangkan saya tinggal di Kuala Lumpur kerana bertugas sebagai penyampai ZAYAN, kami mempunyai perancangan agar Tasha memohon untuk berpindah ke sekolah yang berdekatan dengan rumah kami nanti," katanya kepada Gempak.
Raqib dan Tasha telah mendirikan rumah tangga pada 8 September lalu setelah kira-kira dua tahun berkenalan.
Biarpun berjauhan, pasangan merpati dua sejoli ini akan memastikan mereka bertemu setiap hujung minggu.
"Buat masa ini, setiap minggu kami akan berjumpa... Sama ada saya pulang ke Melaka atau Tasha sendiri akan ke Kuala Lumpur.
"Walaupun kami masih dalam hubungan jarak jauh, namun kehidupan selepas berkahwin lebih bahagia rasanya," katanya ketika ditemui di Majlis Setahun ZAYAN yang diadakan di Nu-In Cafe, Bandar Baru Bangi malam tadi.
Meraikan ulang tahun pertama, ZAYAN adalah jenama radio yang mengetengahkan kandungan kontemporari dan terkini tentang fesyen, teknologi, hiburan dan gaya hidup.
Ia berlandaskan kehidupan komuniti Muslim moden sambil berpegang teguh pada kepercayaan iman sejati.
Selain Raqib, antara penyampai radio ZAYAN yang lain adalah Mawi, Anas Tahir, Falyq Hikyle, Adiela Ridzuan dan Lin Ariffin.
ZAYAN telah mencapai 830,000 pengikut di media sosial secara mingguan, dengan jumlah tontonan sebanyak 16.8 juta sejak Oktober 2017.
Must-Watch Video