Kontroversi yang melibatkan nama pelawak Ali Puteh turut melibatkan orang sekeliling dan insan tersayang.

Antaranya, isteri Ali yang teruk dimaki hamun sehingga anak dalam kandungan turut disumpah seranah.

Melati Fitri Abdullah pada Khamis telah memuat naik paparan skrin seorang individu yang melemparkan kata-kata berbaur hinaan kepadanya.

Posting Melati turut mendapat perhatian sahabat-sahabat pelawak dan arwah Abam yang terkejut dengan tindakan melampau individu terbabit.

Mereka turut menasihati supaya isteri pelawak tersebut supaya terus kuat dan bersabar serta menjauhi media sosial buat seketika kerana bimbang Melati tertekan dan menjejaskan kandungan.


Menerusi pemerhatian Gempak, identiti individu yang menghantar pesanan kepada Melati itu sudah tidak ditemui.

Dalam pada itu, Ali ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut berkata dia tidak menyangka ada manusia yang sanggup mengeluarkan kata-kata kesat seumpama itu.

“Banyak lagi yang dasyat...Ada yang kata anak dalam kandungan isteri tu anak setan (syaitan).

“Tak apalah, saya maafkan dan mendoakan yang baik-baik buat mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis sidang media di The Port.my di Bandar Utama, pada petang Jumaat.