Penyanyi Haqiem Rusli mendedahkan dia pernah menyimpan hasrat untuk membuka kolam ikan tilapia selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, dia menyimpan impian terbabit kerana selepas tamatnya zaman persekolahan, Haqiem mula memberikan fokus terhadap bidang seni.

"Saya memang menyimpan hasrat untuk membuka kolam ikan tilapia di kawasan rumah saya di Hulu Langat, Selangor.

"Selain muzik, saya memang minat memancing dan bertani. Namun, selepas SPM, saya sudah mula serius dalam bidang nyanyian.

"Mungkin saya dapat meneruskan minat yang tertangguh ini di masa akan datang... Siapa tahu kan?" kata Haqiem.



Haqiem ditemui di majlis pelancaran Jelajah Agropreneur Muda 2020 anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) baru-baru ini.

Dalam acara terbabit, Haqiem dilantik menjadi Ikon Selebriti Jelajah Agropreneur Muda 2020 bersama Baby Shima.

"Saya membesar di kawasan Hulu Langat dan minat saya memang terarah kepada bidang pertanian serta saya juga mempunyai hobi seperti memancing.

"Jadi, peluang seperti ini memang saya lihat sebagai salah satu cara untuk mendekatkan saya dengan bidang terbabit," katanya lagi.

Jelajah Agropreneur Muda 2020 merupakan salah satu usaha kementerian untuk menggalakkan penglibatan golongan muda di dalam sektor pertanian serta diadakan di lima zon seluruh negara melibatkan Zon Utara, Timur, Borneo, Selatan dan Tengah.