Graduan farmaseutikal dan sains kesihatan, Lesley Cheam dinobatkan sebagai Miss Universe Malaysia 2022.

Lesley, 26, yang berasal drai Kuala Lumpur telah mengalahkan 12 calon juara lain untuk merebut gelaran ratu cantik itu.

Dalam acara yang berlangsung gilang-gemilang di M Resort & Hotel, Bukit Kiara, Kuala Lumpur itu, tempat kedua jatuh kepada Ajune Kaur dan tempat ketiga milik Wan Yin.

Cemerlang dalam sesi soal jawab

Lesley yang tersenarai sebagai 13 finalis Miss Universe Malaysia 2022 sebelum itu berjaya meletakkan diri dalam lapan terbaik dan berentap dalam pusingan soal jawab.

Petah menyusun kata dan menjawab soalan yang diajukan oleh hos Hensen Lee.

A post shared by Miss Universe Malaysia Org. (@missuniversemalaysia)


Berketinggian 165 sentimeter, Lesley merupakan graduan bidang farmaseutikal dan sains kesihatan dari University of Nottingham Malaysia pada 2019.

Lesley kemudiannya aktif menceburkan diri dalam bidang pengacaraan selain punyai kerjaya tetap sebagai pengurus pemasaran di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya.

Lesley bakal mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik Miss Universe 2022 di Ernest N. Morial Convention Center, New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat pada 14 Januari 2023.

Malaysia kali terakhir menghantar wakil untuk bertanding di Miss Universe menerusi penyertaan Francisca Luhong James di Florida, Amerika Syarikat pada tahun 2020.

Pada tahun berkenaan, ratu cantik dari Mexico, Andrea Meza dinobatkan sebagai Miss Universe 2020.

Kemudiannya, pada tahun 2021, acara tahunan itu telah diadakan di Israel dan Malaysia tidak menghantar sebarang wakil untuk bertanding. Miss Universe 2021 telah menobatkan ratu cantik India, Harnaaz Sandhu sebagai juara.