Seiring dengan perubahan trend hiburan semasa, program ‘Suara Viral 2.0’ kali ini memperkenalkan empat barisan juri iaitu Datuk Hattan, Haqiem Rusli, Aina Abdul dan Marsha.

Selain itu pembaharuan daripada segi format serta senarai tarikan utama juga turut diperkenalkan.

Format penjurian untuk edisi kali ini pula akan menggunakan sistem liga yang ditentukan berdasarkan pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional.

Seramai enam peserta yang akan berentap secara kalah mati untuk setiap pusingan selama tujuh minggu.

Juara mingguan secara automatik akan mara ke peringkat suku akhir untuk bersaing sekali lagi bagi menempah tempat ke pusingan akhir.

Hanya empat finalis terbaik sahaja yang akan terpilih untuk beraksi di episod kemuncak bagi merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Bagi menambahkan lagi keunikan musim terbaharu, ‘Suara Viral 2.0’ juga akan memperkenalkan konsep ‘Tangga Viral’ yang mana setiap peserta dikehendaki memulakan persembahan masing-masing dengan berdiri di kedudukan anak tangga teratas.

Peserta juga perlu menyambut cabaran untuk menyanyi dalam suasana yang berlatarkan bayang silhouette bagi menambat hati juri berdasarkan kemantapan vokal dan bakat nyanyian semata-mata.

Jika juri terhibur dengan persembahan tersebut, mereka boleh menekan butang ‘buzzer’ yang berfungsi untuk menyalakan lampu di setiap anak tangga sekaligus akan mempamerkan wajah peserta dengan jelas.

Dalam pada itu, pelawak Daniel Zaini dan pelakon Naim Daniel menggalas tanggungjawab sebagai hos.

‘Suara Viral 2.0’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (105) serta boleh distrim menerusi Astro Go dan On Demand.

Sebuah episod istimewa ‘Uji Bakat Suara Viral 2.0’ akan disiarkan pada hari Rabu, 10 November 2021, jam 10.00 malam.

Klip aktiviti para peserta sewaktu di kelas vokal akan dipaparkan melalui liputan kapsul ‘Jom Intai Suara Viral 2.0’ setiap hari Selasa, jam 7.00 malam mulai 16 November 2021.

Manakala sedutan aktiviti perjalanan dan persiapan peserta sewaktu di belakang pentas sebelum konsert bermula akan disiarkan menerusi kapsul ‘Menjelang Suara Viral 2.0’ pada setiap hari Rabu, jam 7.00 malam mulai 17 November 2021.

Konsert mingguan ‘Suara Viral 2.0’ pula bakal ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 17 November 2021 selama 10 minggu.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!

Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!