Penyanyi Adzrin akui kesilapannya lewat tiba di set penggambaran untuk promosi sebuah program.

Jelas Adzrin, perkara terbabit berpunca disebabkan dirinya yang mempunyai masalah untuk bangun pagi.

"Saya memang mempunyai masalah untuk bangun pagi.

"Saya diberi 'calltime' pukul 11 tetapi saya terjaga lambat daripada tidur dan ingin bersiap lagi.

"Saya tempah Grab untuk ke sana, dalam perjalanan itu saya sudah reda kerana sudah terlambat.

"Saya sudah minta maaf kepada mereka yang terlibat dan ini merupakan pengajaran untuk saya," katanya kepada Gempak.

Adzrin ditemu bual selepas tamatnya konsert separuh akhir Big Stage 2019 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu.

Malah, pelantun lagu Bukan Yang Terbaik itu berjanji akan mengubah dirinya untuk menjadi lebih baik di masa depan.

"Saya sedar saya masih baru dalam industri nyanyian ini.

"Selepas ini saya akan menjaga masa supaya lebih teratur dan berjanji untuk berubah demi karier saya.

"Saya akan lebih peka dan mengambil serius mengenai tugasan yang diberi," katanya lagi.

Di pentas Separuh Akhir Big Stage 2019 menyaksikan Fieya Julia dan Kucaimars antara peserta terakhir tersingkir sebelum berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Sementara lima peserta yang berjaya mara ke Pentas Akhir Big Stage 2019 adalah Neeta, Han Byul, Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata.

Big Stage 2019 minggu ini menampilkan Tam Spider sebagai juri jemputan bergandingan bersama dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Judika.

Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad Big Stage 2 dibawakan kepada anda oleh Vivo dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.




Rancangan ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!