Lexus Malaysia lancar dua model baharu - ES dan RX yang tampil menarik, lebih selamat dan selesa
Lexus Malaysia memperkenalkan dua kenderaan mewahnya menerusi Lexus ES Serba Baru dan Lexus RX Baru untuk pasaran tempatan.
Kedua-dua model berkenaan menerima pembaharuan dan dikemaskini dari aspek reka bentuk serta juga kelengkapan keselamatan serta keselesaan.
Dengan kecanggihan yang ditampilkan, Lexus meneruskan janjinya untuk memberikan pengalaman menakjubkan bagi pelanggan, dan dalam masa yang sama memenuhi permintaan serta jangkaan keperluan mereka di masa hadapan.
Sebagai satu daripada model teras sejak kelahiran Lexus pada 1989, ES kekal menjadi model sedan mewah paling popular jenama itu, dengan sejumlah 2.3 juta unit terjual diperingkat global sepanjang tempoh 30 tahun.
Model itu adalah generasi ketujuh ES dan menjadi penanda aras terbaru kepada reka bentuk yang dihasilkan Lexus dengan menawarkan kualiti emosi yang lebih mapan.
Menterjemahkan tema "Provocative Elegance", ES generasi baru itu menampilkan rekaan yang menerapkan semangat sporty yang pintar, disumbangkan terutamanya oleh garis bumbung lebih rendah di belakang yang memberikannya imej seakan sebuah coupe.

Ia juga dibangun menggunakan casis serba baru yang bukan hanya membolehkan penampilan lebih dinamik diberikan kepadanya, tetapi juga prestasi pemanduan lebih jitu.
Bahagian dalam, ES generasi terkini dilengkapi dengan ciri dan inovasi keselamatan dan menjadikannya sebagai sedan eksekutif mewah yang paling selamat dan dinamik dalam kelasnya.

Bahagian kokpit lebih memberi tumpuan kepada pemandu, dengan ruang dan tataletak yang menampilkan tahap kemasan dan kehalusan yang baru. Banyak perhatian diberikan kepada perincian kualiti dan penyudah ruang kabin. Ia kini menjadi lebih tenang dan aman menjadi unsur utama bagi layanan omotenashi yang diterapkan pada model-model Lexus.

Jentera sedan mewah itu menggunakan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris (A25A-FKS) yang menghasilkan kuasa sebanyak 204hp pada 6,600 rpm dan tork maksimum sebanyak 247Nm pada 5,000 rpm.

Dengan rekaan yang tersendiri dan menonjol, Lexus RX terus menjadi satu daripada SUV paling popular dalam pasaran. Ia tidak hanya menjadi model penting dalam barisan kenderaan Lexus, tetapi turut menyumbang di dalam menyemarakkan lagi segmen SUV mewah sejak pertama kali diperkenalkan pada 1998.
Jentera itu diberi rekaan baru yang lebih segar, menampilkan teknologi keselamatan terkini dan dipertingkat dengan sistem multimedia dan skrin sentuh yang boleh dihubungkan terus kepada telefon pintar.

Bahagian bampar depan dan belakang antara yang menerima rekaan baru yang dimaksudkan, membantu memberikan penampilan lebih dinamik kepada RX baru ini.

Bahagian kokpit juga memberi lebih tumpuan terhadap pemandu, dan diperkemas dengan sistem multimedia dengan skrin sentuh serta sambungan ke telefon pintar melalui Android Auto dan juga Apple CarPlay.
Dari sudut keselamatan, ia dilengkapi ciri Sistem Lampu Tinggi Adaptif (AHS) jenis BladeScan ™ yang pertama di dunia, yang menghasilkan pencahayaan lebih luas untuk membolehkan pemandu kekal dengan mod lampu tinggi tanpa menyilaukan mata pemandu yang datang dari arah bertentangan. Selain itu, RX baru ini juga dilengkapi dengan pakej keselamatan Lexus Safety System + (LSS+).

