“Lihat Wajah Mereka Dapat Baju Yang Mereka Nak, Subahanallah” - PU Rahmat

Elrafaei Sapi
Ogos 21, 2018 14:10 MYT
Sambutan Aidiladha yang bakal disambut umat Islam di negara ini esok pastinya lebih bermakna buat kanak-kanak Syria yang terharu apabila berpeluang mendapat pakaian baru.
Pengalaman itu dikongsi selebriti PU Rahmat yang bertemu dengan pelarian Syria untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan.
Menerusi status di Instagramnya, @purahmatikhsan menyatakan dia mengunjungi Gaziantep, Turki sebelum singgah di pusat membeli belah di sana untuk membeli kelengkapan pakaian baru.
Ujarnya, pakaian tersebut dibeli untuk dua keluarga Syria yang kehilangan bapa mereka.
Dalam status yang sama, PU Rahmat juga berkongsi video bagaimana kanak-kanak Syria ini gembira ketika mencuba pakaian baru.
“Kalian lihat wajah mereka dapat baju yang mereka nak, Subahanallah! Speechless, mereka sangat bahagia. Alhamdulillah, alhamdulillah,” katanya.
PU Rahmat antara anggota Persatuan Cinta Syria Malaysia yang melakukan misi kemanusiaan bersama beberapa sukarelawan lain termasuk penyanyi Noh Hujan bersama isteri, Mizz Nina.
Teka oleh: Elrafaei Sapi
#PU Rahmat #Noh Hujan #Syria