Berita
Lilit Gelang Pink Dengan Kain Putih, Warga Emas Pulang Dari Sabah Ini Akhirnya...
Ketika Malaysia diasak dengan kes COVID-19 yang semakin meningkat, masih ada rupanya individu yang ingkar dengan arahan kuarantin.
Terbaru, seorang lelaki warga emas yang memakai gelang merah jambu ditahan polis kerana melanggar syarat kuarantin Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) COVID-19.
Kejadian tersebut difahamkan berlaku di Damansara Damai, semalam.
Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam yang melihat seorang lelaki memakai gelang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Nik Ezanee, lelaki itu pada awalnya telah berlegar di kawasan premis perniagaan dan cuba melindungi gelang dipakai menggunakan lilitan kain putih.
"Anggota kemudian terus bergegas ke lokasi tersebut dan menahan lelaki berusia 63 tahun itu.
"Semakan mendapati lelaki itu baru pulang dari Sabah dan keputusan ujian saringan Covid-19 negatif.
"Namun, dia diarahkan menjalani kuarantin di rumah bermula 28 September hingga 11 Oktober," katanya.
Tambah Nik Ezanee, polis akan membuat permohonan reman terhadap lelaki itu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, esok.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video