BERITA

Lima Restoran Dikenakan Bayaran RM182,000 Gara-Gara Cetak Rompak Siaran Astro

Awani 22/08/2025 | 13:25 MYT
Akibat mencetak rompak kandungan siaran Astro, lima buah restoran menanggung padah dan perlu membayar RM182,000 kepada Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS).

Ia berikutan keputusan penghakiman dan penyelesaian yang merangkumi ganti rugi, kos guaman serta yuran langganan pakej TV-berbayar komersial.

Kes-kes yang difailkan oleh MBNS iaitu anak syarikat Astro Malaysia Holdings Berhad ini melibatkan penggunaan kotak TV untuk menstrim saluran Astro tanpa kebenaran serta penyalahgunaan pakej TV-berbayar kediaman bagi tujuan perniagaan.

Ia sekali gus menjejaskan hak pelanggan sah yang melanggan pakej TV-berbayar komersial.

Daripada lima restoran terbabit, dua menerima jumlah penalti tertinggi.

Aditri Sdn Bhd, pengusaha Restoran Pitha Ghar, diperintah membayar RM60,000 manakala QR Bistro, pengendali Restoran Nasi Kandar Qashief, dikenakan bayaran RM55,000.

Kedua-duanya termasuk ganti rugi statutori serta kos guaman.

Dalam penghakiman bagi kedua kes tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Adlin Abdul Majid mengesahkan berlaku pelanggaran hak cipta di bawah Seksyen 36 Akta Hakcipta 1987 dan mengeluarkan perintah injunksi kekal bagi menghalang sebarang penayangan tanpa kebenaran pada masa hadapan.

Bagi kes Restoran Pitha Ghar (Aditri Sdn Bhd), mahkamah mendapati premis itu menayangkan secara haram perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Manchester United menentang Everton pada 9 Mac 2024 melalui saluran Astro Supersport 3, termasuk segmen pra-perlawanan, separuh masa dan pasca perlawanan.

Sementara itu, Restoran Nasi Kandar Qashief (QR Bistro) pula dikesan menstrim secara haram perlawanan AFC U20 Women’s Asian Cup Uzbekistan 2024 pada 6 Mac 2024 menerusi saluran Astro Arena Bola 2, termasuk ulasan langsung.

Tiga lagi premis makanan iaitu, Restoran Seapark, Kedai Makanan Seafood Taman Ria serta sebuah kopitiam di Pulau Pinang, telah mencapai penyelesaian dengan MBNS dan bersetuju untuk membayar pampasan serta menukar langganan mereka kepada pakej TV-berbayar komersial Astro BIZOne.

Keseluruhan penyelesaian daripada tiga premis tersebut berjumlah RM67,000.

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, berkata, kes-kes tersebut membuktikan bahawa cetak rompak tidak pernah berbaloi.

"Perniagaan yang cuba mengambil jalan pintas dengan menyalahgunakan pakej TV-berbayar kediaman atau menstrim kandungan Astro secara haram akhirnya terpaksa membayar jauh lebih tinggi berbanding harga langganan pakej TV-berbayar komersial yang sah.

"Selain melindungi kandungan, keutamaan Astro adalah memastikan para pemilik perniagaan yang mematuhi undang-undang terus mendapat nilai sebenar daripada pakej Astro BIZOne.

"Hakikatnya, cetak rompak hanya mengundang risiko undang-undang, kewangan serta menjejaskan reputasi.”

Sumber: Awani

#Astro #Restoran #Lima #Siaran