Penyanyi Siti Nordiana mendedahkan yang dia menunggu sekitar lima tahun untuk mendapatkan lagu ciptaan komposer tersohor, Datuk M Nasir.

Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, dia menunggu agak lama untuk merekodkan lagu Menyantun Kasih kerana M Nasir merupakan seorang yang teliti.

“Saya selalu jumpa beliau di acara-acara hiburan selepas saya menyertai Gegar Vaganza. Saya pun ambil peluang untuk bertanya pada beliau jika beliau sudi untuk beri saya lagu.

“Alhamdulillah, selepas lama menunggu, saya akhirnya dapat lagu daripada beliau. Tapi beliau ada tanya boleh ke saya bawa lagu yang beliau buat? Tapi tentulah beliau berseloroh sahaja,” katanya kepada Gempak.

Nana berkata demikian ketika ditemui pada majlis ramah mesra media sempena dengan pelancaran lagu berkenaan di ibu kota baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nana memberitahu yang dia mengambil masa selama lima hari berasingan untuk melengkapkan rakaman lagu berkenaan.

“Bagi menyudahkan rakaman lagu ini, saya perlu ke studio Luncai Emas selama empat hari berasingan. Untuk satu sesi, saya habiskan empat jam di studio.

“Alhamdulillah, lagu tersebut berjaya dirakam dengan jaya menerusi tunjuk ajarnya,” katanya lagi,

Lagu Menyantun Kasih boleh ditonton menerusi platform Youtube mulai semalam.


Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!