Pelakon dan penyanyi Linda Rafar menarik nafas lega apabila mahkamah menolak saman komital jururawat terhadapnya dengan kos RM5,000.

Menurut Linda apa yang berlaku membuatkan dirinya lebih kuat menghadapi apa jua dugaan hidup.

“Alhamdulilah, kes ini akhirnya selesai. Apa yang berlaku ini memang membuatkan saya lebih kuat demi arwah ibu saya.

“Ramai orang tak tahu saya tak pernah saman orang, malah orang pula yang saman saya. Sebelum ini pun memang saya ada kata nak saman netizen tapi semua saya tarik balik,” katanya.

Linda ditemui Astro Gempak ketika majlis bersama peminatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

BACA: Saman Komital Jururawat Terhadap Linda Rafar Ditolak Mahkamah Dengan Kos RM5,000

Kata Linda, meskipun pernah mempunyai isu dengan jururawat namun dia akui tidak fobia untuk berurusan di hospital lagi.

“Saya tak fobia pun, malah baru-baru ini saya ke sebuah hospital di Kelantan ramai pula jururawat yang baik dan bertegur sapa dengan saya.

“Sebenarnya segelintir jururawat sahaja yang mempunyai isu dengan saya, yang lain tiada masalah pun,” katanya lagi.

Linda pada 24 Julai lalu berjaya membatalkan notis komital yang difailkan terhadapnya oleh seorang jururawat sebuah hospital di Shah Alam pada tahun lalu.

Pada 8 Mei 2019, Linda, atau nama sebenarnya Azlinda Rafar, bersama jururawat itu telah mencapai satu penyelesaian luar mahkamah dan difahamkan Linda memenuhi kesemua bahagiannya dalam penyelesaian tersebut.

Namun begitu, jururawat itu tetap memfailkan satu tindakan komital terhadap anggota kumpulan Elite tersebut.

Mahkamah Seksyen Shah Alam telah bersetuju bahawa Linda tidak bersalah dan telah memenuhi kesemua bahagiannya dalam persetujuan tersebut seperti yang dijanjikan.

Isu Linda dan jururawat bermula selepas pelakon itu memuat naik satu perkongsian di media sosial kerana berasa kesal atas layanan buruk seorang jururawat ketika ibunya dirawat di sebuah hospital di Shah Alam.