HIBURAN

Linda Rafar Sedih, Dituduh Penunggang Agama Hanya Kerana Busana - “Kalau Betul Jahat, Kecamlah Banyak Mana Tapi Saya Tak Begitu”

Mya Amri 30/06/2025 | 02:55 MYT
Penyanyi dan anggota kumpulan Elite, Linda Rafar akui ada komen kurang enak mengenai busananya telah memberi kesan pada dirinya sehingga terlintas untuk menarik diri konsert berkenaan.

Jangan menilai hanya kerana busana

Linda atau nama sebenarnya, Azlinda Abdul Rafar, 47, bagaimanapun berharap agar orang ramai tidak menilai dirinya hanya menerusi busana yang dipakainya pada sidang media Elite Live'25 yang berlangsung baru-baru ini.

“Kalau saya ini jenis liar, saya tak kisah kalau orang kritik saya tapi bila orang komen saya penunggang agama, saya sangat sedih.

“Saya tidak kisah dikritik soal vokal, tarian, usia, kerana kami sudah terima yang Elite bukanlah hebat mana pun dan peminat Elite pun tahu kami macam mana.

“Mungkin saya tak pernah kena kecaman sebegini, jadi saya terkesan. Nak tidur pun terfikir-fikir sampai saya rasa nak tarik diri. Semangat saya dari teruja, bertukar sedih. Bab agama memang saya sensitif, saya memang tak okay.

“Kalau betul saya jahat, saya teruk, awak boleh kecamlah banyak mana tapi saya tidak sebegitu,” katanya


Alami anxiety

Jelas Linda lagi, dia mengalami kesukaran untuk tidur susulan komen negatif yang diterima, malah turut mengalami gangguan keresahan atau ‘anxiety’.

“Saya ingat saya kuat tapi tidak, saya tidak makan seharian dan saya juga tidak ‘reply’ satu pun dalam ‘group’ Whatsapp kami.

“Saya tak jawab mesej atau panggilan. Saya menangis bila ada yang komen saya menunggang agama.

“Sampai ada yang ‘tagged’ Ustaz Wadi Annuar, kerana saya anak muridnya. Saya banyak mengikuti kelas agama dan usrah.

“Saya jadi malu bila dikatakan seolah-olah saya ini terpesong hanya disebabkan baju yang saya pakai pada sidang media itu,” jelasnya.

Tak salahkan mana-mana pihak

Mengulas mengenai busana tersebut, Linda berkata pakaian itu disediakan oleh pihak penganjur namun dia tidak menyalahkan mana-mana pihak.

“Sebenarnya, pakaian kami semua sudah disediakan, kami hanya datang bersiap. Pada hari kami bersiap, baju sampai selepas kami siap bersolek. Baju pula hanya disediakan satu setiap seorang, tiada pilihan kedua.

“Baju kami dibuat mengikut saiz badan kami masing-masing. Ketika saya memakai baju saya, saya sudah terdetik dan bertanya pada mereka semua, baju itu ketat atau tak untuk saya.

“Saya pun sudah lama tidak berpakaian sebegitu, jadi saya rasa pelik. Tapi semua kata cantik dan sesuai untuk saya. Saya pun rela hati pakai, dan bila gambar sudah keluar, ada beberapa komen yang diterima.

“Tapi saya tidak menyalah pihak yang menyediakan baju dan pihak Iman juga sudah memohon maaf. Lagipun, tidaklah semua mengutuk, hanya satu atau dua saja yang mengutuk,” katanya.
Terdahulu, Linda menerima kecaman negatif di laman sosial selepas ada segelintir yang kurang selesa melihat dia memakai busana yang kurang sesuai dengan imejnya sebagai seorang muslimah.

Linda memakai busana berona hitam dan putih pada sidang media pengumuman konsert Elite Live'25, yang berlangsung pada 23 Jun lalu.

#Netizen #Linda Rafar #Tular #Busana