Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Lisa Blackpink Dedah Cemas Pertama Kali Tampil Solo

Maliah Surip
16/11/2024 12:55 MYT
Sudah terbiasa membuat persembahan secara berkumpulan bersama Blackpink, Lisa mendedahkan perasaan saat membuat keputusan menjalani karier solo.

Menurut pemilik nama sebenar Lalisa Manobal, dia sempat berasa takut dan cemas untuk menyanyi secara solo kerana menyifatkan ia sebagai bukan sesuatu yang biasa dilakukannya.

“Pada mulanya saya sangat takut dan cemas kerana tidak pernah melakukan hal ini (solo). Tapi sekarang saya sedang menikmatinya,” ujar Lisa menerusi temu bual bersama Billboard.

Lisa yang juga merupakan artis global pertama menjadi sampul wajah Billboard menyatakan kebimbangan yang dirasakan kerana peranan nyanyiannya di Blackpink dan sewaktu menyanyi solo adalah berbeza.

“Saya banyak menyanyi secara rapping jika bersama Blackpink namun untuk solo saya dapat menunjukkan kepada dunia bahawa saya juga boleh menyanyi dan lebih daripada itu.

“Apabila lagu solo dipasarkan saya telah mendapat respons yang mengujakan daripada peminat.

Hal itu membuatkan saya tenang. Ia juga membuat saya yakin telah melakukan kerja yang baik,” katanya lagi.

Meski sempat gusar, penampilan Lisa sebagai penyanyi solo menerusi lagunya, Rockstar telah membuat dirinya kekal mahsyur.

Menurut Lisa meski anggota Blackpink yang lain juga menjalani projek solo, hubungan mereka masih akrab dan saling berhubung termasuk melalui Facetime.

Wanita berusia 27 tahun juga memberitahu dia bersama anggota Blackpink yang lain Lisa, Jennie, Rosé dan Jisoo akan kembali aktif pada 2025.

“Kami saling menyokong dan sudah seperti keluarga. Saya gembira kerana kami akan menghasilkan sesuatu yang baharu bersama nanti. Dan saya juga sebenarnya sangat menyukai lagu-lagu solo mereka,” ujar Lisa.
#Blackpink #Lisa #Karier Solo
;