Pengarah dan komposer terkenal, Yusry Abdul Halim telah berkongsi berita gembira mengenai kelahiran anak keduanya di akaun Instagram kira-kira jam 9.50 pagi tadi (Ahad).

Menerusi entri tersebut, Yusry menyatakan rasa syukurnya dengan menulis: “Alhamdulillah. Lisa dah selamat melahirkan baby boy pagi tadi. Syukur Alhamdulillah.”

Lisa Surihani melahirkan bayi lelakinya itu di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur pada jam 7.10 pagi dan berada dalam keadaan sihat.

Sementara itu di ruangan komen, selain memberi ucapan kepada Lisa dan Yusry mereka turut mengucapkan tahniah kepada Yahaira kerana telah menjadi kakak.

Yusry dan Lisa mendirikan rumahtangga pada 23 Februari 2012 dan dikurniakan anak pertama, Yahaira Leanne.