Hiburan
Lisa Surihani Lebih Aktif Di Kehamilan Kedua
Pelakon filem Lagenda Budak Setan, Lisa Surihani menjelaskan dirinya lebih aktif melakukan aktiviti harian di kehamilan kedua.
Dijangkakan akan menyambut kelahiran anak kedua sekitar akhir April atau awal Mei, suri hati kepada Yusry Abdul Halim ini kurang mengalami alahan berbanding kehamilan pertamanya.
“Ketika saya mengandungkan Yahaira Leanne, saya banyak duduk berehat di rumah. Berbeza dengan kehamilan kedua, saya kini lebih aktif melakukan aktiviti harian. Alahan yang saya hadapi juga tidak begitu teruk seperti yang pertama.
“Berat badan saya juga tidak seperti kelahiran pertama. Sewaktu dulu, berat saya naik mendadak sehingga 30 kilogram. Kali ini berat badan saya tidaklah naik mendadak seperti dahulu,” kata Lisa.
Sarat hamil tujuh bulan, Lisa juga lebih bersedia selepas banyak menimba pengalaman sewaktu hamil anak pertama.
“Saya banyak belajar semasa proses kehamilan Yahaira dan kini saya lebih bersedia. Walaupun kehamilan kedua tidak dirancang, saya rasa selesa dan gembira menjalani proses kehamilan kedua,” katanya lagi.
Mendirikan rumah tangga bersama Yusry pada 23 Februari 2012, mereka dikurniakan anak sulung, Yahaira Leanne 15 September 2015.
Sumber: Kosmo
Olahan oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @iamlisasurihani, @prettypeektures & @meamoregraphy