Berbeza pengalaman ketika mengandung sebelum ini, pelakon popular, Lisdawati lebih lasak melakukan aktiviti kecergasan untuk memastikan dirinya bertenaga.

Ujarnya, sejak dia mengandung anak keempat, dia melakukan senaman sama ada berjoging mahupun kayuh basikal.

"Ketika kandungan masuk usia 4 bulan setengah, saya berlari sejauh 10 kilometer.

"Begitu juga saya melakukan perkara yang sama ketika kandungan masuk 6 bulan dan 7 bulan," katanya kepada Astro Gempak.

Akuinya, ketika usia kandungan 3 bulan sebelum itu, dia berani berlari sejauh 5 kilometer dengan menyertai acara larian.

"Sejak saya mengandung, saya memang tidak boleh duduk diam.

"Alhamdulillah sepanjang saya melakukan aktiviti sebegini, saya tidak mengalami sakit kaki yang teruk.

"Mungkin sebelum mengandung saya sudah biasa berlari seminggu 2 kali dengan berjoging," katanya.



Lisdawati ditemui ketika Majlis Pelancaran Bunker Hotel & Restaurant milik suaminya bersama 2 rakan kongsi lain yang diadakan di Kuala Lumpur, malam tadi.

"Ketika Ramadan lalu, bayi dalam kandungan saya tidak tidur ketika solat Isyak sehingga terawih.

"Rasanya mungkin dia terdengar ustaz membaca al-Quran, dia aktif," katanya.

Tidak seperti pengalaman sebelum ini, dia juga tidak mengalami sebarang alahan ketika mengandung.

"Selera makan macam biasa tiada mengidam pelik-pelik. Saya hanya mengamalkan minum susu kambing.

"Saya berhenti berlakon buat seketika selepas kandungan masuk 6 bulan tetapi menariknya, saya juga terima tawaran berlakon pada bulan depan maknanya ketika dalam pantang," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak