Laman Utama

#ListenToAided: Aina Abdul Semakin Menyerlah - "Saya Tak Kisah Orang Cakap Saya Artis Pertandingan!"

gempak
Asraf Aided
08/03/2021
13:04 MYT
Sponsor Banner
#ListenToAided: Aina Abdul Semakin Menyerlah - "Saya Tak Kisah Orang Cakap Saya Artis Pertandingan!"
NOTA: #ListenToAided adalah lebih kepada kupasan dan pandangan peribadi penulis dalam perkara berkaitan muzik tempatan dan antarabangsa.
***
Sudah lama saya menunggu peluang ini, kebetulan beberapa hari lalu saya bertemu penyanyi yang sangat saya kagumi bakat dan kreativitinya.
Ladies and gentleman, Aina Abdul!
Dalam #ListenToAided kali ini, saya kongsikan sedikit cerita Aina berkaitan perjalanannya dalam dunia muzik. Tak guna meminati lagunya sahaja kalau tak tahu serba sedikit tentang tuan punya diri!
Kerjaya Melonjak Tahun 2020
Pada pendapat saya, Aina merupakan seorang yang unik dan sukakan perbezaan baik dari segi nyanyian, hinggalah penataan gaya dirinya. Jika diperhatikan, graf kerjaya Aina juga melonjak naik tahun lalu meskipun dunia dilanda pandemik COVID-19.
Pelantun lagu Sumpah ini berterima kasih kepada stesen-stesen televisyen tempatan kerana mewujudkan beberapa program baru tahun lalu.
"Saya berterima kasih kepada stesen-stesen TV yang ada banyak program baru tahun lalu, walaupun kebanyakannya pertandingan, saya tak kisah dicop sebagai artis pertandingan, I don't care.
"Sekarang ni kita dah tak tahu dah kat mana nak buat diri jadi terkenal, mula-mula saya masuk Immortal Songs, kemudian The Masked Singer Malaysia diikuti Vokal Mania, memang pertandingan ini berturut-turut, saya terima saja.
"Tahun lepas adalah tahun yang paling sibuk untuk saya, lebih sibuk daripada tahun-tahun lain," katanya.
Cabaran Berhadapan Pandemik
Bercakap mengenai cabaran berhadapan pandemik COVID-19 selepas penyertaan dalam Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) tahun lalu, Aina mengangggap rezeki dan peluang yang datang kepadanya umpama satu keajaiban.
"Bagi saya, ia umpama satu keajaiban, pada mulanya saya baru nak bina nama selepas bertanding di AJL34 tahun lalu, kemudian tak lama selepas itu, kita dilanda pandemik dan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sejujurnya, saya rasa tahun 2020 membuka mata saya, apa yang penting adalah mind set, kerana ada juga yang tertanya-tanya bagaimana nak promosikan lagu ketika PKP waktu itu.
"Dari situ juga saya lihat kepentingan media sosial, saya tidak mempunyai ramai pengikut di Instagram, tetapi saya ada pengikut yang berbeza di YouTube dan sambutannya menggalakkan, dari situlah saya bersemangat nak teruskan," katanya lagi.
Detik Paling Sukar Dalam Kerjaya
Aina mula terlibat secara profesional dalam industri hiburan pada tahun 2015 dan menurutnya, detik yang paling sukar adalah sekitar pertengahan pembabitannya sebagai anak seni.
Kata pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani ini, dalam fasa itu, dia merasakan kewujudan dirinya seperti tidak disedari dalam industri.
"Detik sukar untuk saya adalah pada tahun 2016, 2017 dan 2018, tiga tahun ini memang buat saya tertekan, sebab saya ketika itu umpama dalam bilik yang sesak, tetapi tiada orang yang nampak saya," katanya.
Fesyen Unik
Beralih ke topik fesyen, pada saya, Aina mempunyai pakej yang lengkap. Vokalnya bukan calang-calang, dilengkapkan pula dengan penampilannya yang unik, she is one of a kind!
Bagi Aina yang menyukai Lady Gaga ini, fesyen mampu mencipta perbezaan terhadap dirinya.
"Sepanjang saya menyanyi, memang selalu akan ada orang suka suara saya, tetapi sampai satu tahap, saya dah tak mahu pujian, saya nak cari point orang cakap pasal saya, saya rasa saya kena ada perbezaan pada diri.
"Saya suka Lady Gaga, kalau di Malaysia saya suka Yuna, jadi saya mahu jadikan Aina Abdul sebagai seorang penyanyi yang hadir dengan fesyen.
"Kalau saya menyanyi tak sedap, orang boleh komen pasal fesyen saya pula," tambah Aina.
Inspirasi Nyanyian
Dua tahun berturut-turut bertanding di pentas berprestij AJL, tidak mungkin saya lupa bertanya siapakah penyanyi atau idola yang banyak memberi inspirasi kepada dirinya.
Kata Aina, dia amat mengagumi penyanyi antarabangsa Lara Fabian meskipun nama itu agak asing di negara kita.
"Dari segi artis, saya sangat suka dengan seorang penyanyi ini, kalau di Malaysia orang tak berapa kenal, tetapi dalam kalangan penyanyi semua orang kenal, namanya Lara Fabian.
"Lara Fabian ini bagi saya best singer in the world! Dalam kalangan penyanyi, Lara Fabian ini satu nama yang besar.
"Saya suka konsep penyanyi ini, dia ada perkara yang orang ingat tentang dirinya, jadi saya mahu jadi begitu," tuturnya menutup bicara.
Semoga kerjaya Aina terus mengukuh dan sentiasa dihargai oleh pencinta muzik tanah air, mahupun di luar negara.
Sekadar ini sahaja coretan saya kali ini, see you guys next week!
Kredit Foto : Instagram Aina Abdul
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live