Sambutan Aidilfitri tahun ini tetap dirasai meskipun dibatasi oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rata-rata antara kita tetap mengenakan persalinan Raya dan berkongsi foto OOTD hanya dari rumah masing-masing tanpa melakukan aktiviti ziarah.

Sudah menjadi kebiasaan, menyambut raya umpama tidak lengkap tanpa memainkan lagu raya.

Jika dalam kolum sebelum ini, saya menyenaraikan beberapa lagu raya evergreen, kali ini mari sama-sama nikmati lagu raya dendangan penyanyi generasi baru yang tidak kurang hebatnya.

Pejam Celik Hari Raya - Iman Troye



Jumlah tontonan melebihi 7 juta di YouTube, sudah tentu ramai yang tahu dan terbiasa mendengar lagu raya ini.

Percubaan kedua Iman selepas lagu pertamanya berjudul Teman nampaknya turut membuahkan hasil.

Such a talented girl! Bagi saya, muzik yang dibawa Iman sangat catchy dan sesuai dengan minat generasi masa kini.

Raya Raya Raya - Dolla



Lagu ini juga menampilkan suasana Raya yang disampaikan dalam cara moden. Selain Iman, Dolla juga berjaya membuktikan lagu Raya mereka menjadi!

Angel, Tabby, Sabronzo dan Syasya mempunyai karakter tersendiri yang menambahkan kemeriahan dalam muzik video lagu Raya ini.

Setakat artikel ini ditulis, lagu Raya edaran Universal Music Malaysia ini mendapat lebih dua juta tontonan di YouTube selepas mula ditayangkan pada 30 April lalu.

Syukur Lebaran - Aina Abdul



Saya masih ingat beberapa bulan lalu ketika berbual dengan Aina yang dia akan melancarkan lagu Raya ini sekitar awal Ramadan. Ketika itu saya sudah mula teruja menantikannya.

Ya, as what i expected, lagu Raya Aina ini meriah, yang penting, vokal nyaringnya sentiasa sedap didengar!

Selepas sebulan dimuat naik di YouTube, tontonan video lirik lagu ini telah melebihi 200 ribu.

Baju Raya - Floor 88



Lagu ini juga tak kurang hebatnya, baru dua minggu dimuat naik di YouTube, jumlah tontonannya telah mencecah 1.9 juta!

Jika diteliti muziknya, identiti muzik kumpulan ini dikekalkan, sekali dengar memang boleh tahu ia nyanyian mereka.

Muzik videonya meriah, punya cerita tersendiri dan turut diselitkan unsur jenaka.

Selamat Hari Raya (2021) - Barisan Artis Sony Music Malaysia



Lagu nyanyian asal Puan Sri Saloma ini diberi nafas baru oleh Harris Alif, Aisha Retno, Vanessa Reynauld, Khodi, Qiff, Liesl-mae, Syabil, Rasyad dan Bael0n.

Seperti biasa, barisan artis Sony Music Malaysia sentiasa tampil segar dan moden, aura yang sama juga turut ditampilkan dalam muzik video lagu ini.

Meskipun disuntik menjadi lebih moden, elemen keaslian lagu ini masih tidak lari dan semestinya lagenda Puan Sri Saloma akan terus dikenang sampai bila-bila.

Demikianlah lima lagu raya nyanyian penyanyi generasi baru yang turut mempunyai kelebihan masing-masing.

Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua pembaca Gempak.

Semoga kita bertemu dalam #ListenToAided minggu hadapan!