Raya makin dekat, tak sah kalau tak dengar lagu raya untuk membangkitkan lagi mood dan feel lebaran!

Aided percaya, sudah tentu ramai yang menyukai lagu-lagu raya nyanyian penyanyi lama kerana sudah terbiasa membesar dengannya.

Kali ini, kolum #ListenToAided akan berkongsi lima lagu raya yang popular dan diminati zaman berzaman bersama anda semua.

Dendang Perantau - P Ramlee



Dendang Perantau merupakan salah satu lagu yang paling sinonim dengan sambutan lebaran di negara kita. Ianya sering dimainkan di corong radio dan televisyen setiap tahun tanpa jemu.

Dendang Perantau adalah ciptaan sendiri seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam tahun 1950an manakala liriknya ditulis oleh S.Sudarmaji. Bayangkan, dari tahun 1950an hingga kini, karya ini masih segar dan diminati ramai!

Selamat Hari Raya - Saloma



Tidak kurang juga lagu ini, kemeriahan hari raya disampaikan dengan cemerlang oleh penyanyi lagenda ini. Lirik Selamat Hari Raya mengisahkan sambutan kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Lagu ini mendapat sentuhan Ahmad Jaafar selaku komposer dan penulis lirik. Boleh dikatakan, lagu ini sesuai dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur.

Di Pagi Aidilfitri - Rosemaria



Lagu ini pula adalah kegemaran saya, meskipun liriknya mengisahkan kesedihan dan kepiluan tak dapat beraya bersama pasangan, namun susunan muzik, cara penyampaian dan melodi keseluruhan lagu ini amat sedap didengar! Classy!

Di Pagi Aidilfitri pernah dimuatkan dalam kompilasi lagu raya pada awal 1980an terbitan EMI bersama lagu raya nyanyian penyanyi lain.

Balik Kampung - Sudirman



Lagu ini mungkin kurang digemari ketika ini dimana larangan merentas negeri masih tidak dibenarkan ekoran kes COVID-19 masih mengganas, namun bertuahlah mereka yang kampungnya berdekatan tanpa perlu merentas negeri! Bagaimanapun, kemeriahan pulang ke desa yang diceritakan dalam lagu ini tetap dirasai.

Bayangkan warga kota yang sentiasa sibuk bekerja dapat merehatkan minda dan menikmati kemeriahan lebaran bersama keluarga dan sanak saudara di kampung, memang best!

Nostalgia Aidilfitri - Sharifah Aini



Lagu raya nyanyian biduanita negara ini tidak pernah lapuk dan sentiasa evergreen! Bagi Aided, liriknya lengkap menyentuh hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia ketika menyambut Aidilfitri.

Lagu ini dimuatkan dalam album Pilihan Klasik Aidilfitri terbitan EMI pada 1996 dan menjadi lagu pertama yang diletakkan dalam senarai lagu raya album berkenaan.

Demikianlah lima lagu raya nostalgia yang tak pernah lapuk dan sentiasa diminati.

Sudah tentu banyak lagi lagu raya lain yang menjadi kegemaran kita semua, apapun, terpulang pada citarasa dan pilihan masing-masing.

Selamat menjalani ibadah puasa dan salam lebaran dari saya, semoga bertemu dalam kolum minggu hadapan.

*NOTA: Kolum ini ditulis berdasarkan pendapat dan pandangan peribadi penulis tentang perkara-perkara berkaitan dunia muzik tempatan dan antarabangsa.

Kredit Foto: Facebook (P Ramlee & Saloma), YouTube (Sharifah Aini), Discogs (Rosemaria) & BERITA Mediacorp (Sudirman)