Laman Utama

#ListenToAided: Lima Lagu Raya Yang 'Ons' Untuk Aidiladha

gempak
Asraf Aided
19/07/2021
12:40 MYT
Sponsor Banner
#ListenToAided: Lima Lagu Raya Yang 'Ons' Untuk Aidiladha
Sedar tak sedar, Hari Raya Aidiladha bakal menjelma esok.
Memandangkan kita masih lagi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Pergerakan merentas negeri untuk pulang ke desa masih tidak dibenarkan.
Oleh itu, marilah kita meraikan secara besederhana dengan rasa penuh kesyukuran dan sentiasa berfikiran positif.
#ListenToAided hari ini berkongsi lima lagu raya yang boleh dinikmati sempena Aidiladha yang bakal tiba.
Sujudku - Aris Ariwatan, Aidiel Ghaffar & Badri Ibrahim
Lagu ini sememangnya direka khas buat sambutan Aidiladha, liriknya sarat dengan mesej keagamaan dan mengingati kebesaran Allah SWT.
Video liriknya di YouTube juga dimulakan dengan alunan takbir yang menyentuh jiwa.
Sujudku ditulis oleh Hazran Mohamed dan digubah oleh Radzman & Man Senoi.
Dendang Perantau - Tan Sri P Ramlee
Lagu malar segar ini bukan sahaja sesuai dimainkan pada musim Aidilfitri, liriknya juga tidak ada menyebut perkataan 'Syawal' ataupun 'Aidilfitri'.
Dendang Perantau sememangnya sinonim dengan sambutan perayaan umat Islam di negara kita.
Lagu ini adalah ciptaan sendiri penyanyinya, seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee pada sekitar 1950-an. Liriknya pula ditulis oleh S.Sudarmaji. Meskipun sudah jauh melangkaui zaman, lagu ini masih lagi diminati dan segar hingga hari ini.
Bersabarlah Sayang - Sanisah Huri
Lagu ini mengisahkan tentang seorang sahabat yang mengajak rakannya menghilangkan duka dan kesedihan untuk menyambut Hari Raya.
Lagu nyanyian Sanisah Huri ini ditulis oleh Yusnor EF dan dicipta oleh Kassim Masdor.
Bersabarlah Sayang juga tidak pernah lapuk dan masih dimainkan di corong-corong radio sehingga kini ketika menjelang sambutan Raya.
Balik Kampung - Sudirman Arshad
Lagu ini juga tidak ada menyebut Hari Raya secara spesifik, namun kegembiraan perantau pulang ke desa meraikannya dapat digambarkan.
Meskipun lagu yang ditulis sendiri oleh Sudirman ini agak tidak berkaitan dengan situasi rakyat Malaysia ketika mengharungi pandemik ini, namun ia boleh menjadi pembakar semangat kita untuk sentiasa mengenang keluarga di kampung, jadi, jangan lupa untuk sentiasa menghubungi mereka.
Kepulangan Yang Dinanti - Aman Shah
Lagu ini mengisahkan hasrat seorang bapa yang mengharapkan kepulangan anaknya di Hari Raya.
Nyanyian Aman Shah menyanyikan lirik yang menyentuh perasaan ini sememangnya boleh membuatkan anak-anak di perantauan bertambah rindu kepada bapa mereka.
Kepulangan Yang Dinanti yang ditulis oleh Omar Taib ini juga merupakan salah satu lagu Raya 'evergreen' yang masih bertahan sehingga kini.
Demikianlah lima lagu raya yang boleh didengar bagi menceriakan sambutan Aidiladha tahun ini.
Apapun, Adidiladha memberi erti sebenar yang lebih besar dari sudut pengorbanan dan menginsafi diri dengan memperbanyakkan ibadah terhadap Allah yang satu.
Lagu-lagu ini mungkin boleh didengar ketika masa lapang secara sambil-sambilan sahaja.
Salam Aidiladha saya ucapkan kepada semua pembaca Gempak.
Kredit Foto: Wikipedia (Sanisah Huri), AWANI (P Ramlee), YouTube (Sudirman)
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live