#ListenToAided: Lima Sebab Kenapa Anda Perlu Tonton All Together Now Malaysia
Asraf Aided
07/06/2021
14:32 MYT
All Together Now Malaysia (ATNMY) telah membuka tirai episod pertama semalam.
Seperti biasa, sudah tentu pelbagai pendapat akan diperkatakan oleh penonton, saya sendiri pun membaca pelbagai komen netizen di media sosial.
Biasalah, dalam banyak perkara, biasanya akan ada yang suka dan ada yang tak suka, sudah jadi satu kebiasaan dalam kehidupan.
Justeru, saya rasa terpanggil untuk menulis sedikit pendapat saya secara peribadi mengenai pertandingan ini.
Di sini, saya kongsikan lima sebab kenapa anda perlu tonton ATNMY
1. Format Lain Dari Yang Lain
Ya! Tiada pertandingan nyanyian yang menggunakan format seumpama ini di Malaysia sebelum ini, ATNMY adalah yang pertama di Asia Tenggara mengambil format dari program All Together Now yang terkenal di negara-negara luar sebelum ini.
Ramai peserta yang menyertai, namun hanya tiga peserta yang akan bertahan pada akhir rancangan, sudah tentu mendebarkan! Manakan tidak, jika ada peserta yang kita suka tapi berada di kerusi yang ketiga, dia harus disingkirkan jika ada peserta lain yang markahnya lebih tinggi. Begitu juga dengan peserta lain, senang cakap, hanya tiga markah teratas akan bertahan, kemudian, tempat kedua dan ketiga harus melalui pusingan sing off bagi menemani finalis markah tertinggi ke konsert akhir. Hanya dua finalis dari setiap episod akan mara ke konsert akhir.
2. 50 Orang Juri...Meriah Lain Macam!
50 orang juri, dengan pelbagai kerenah yang menghiburkan, sudah tentu ia menambahkan lagi kemeriahan ATNMY ini.
Lagipun, semua juri memang sporting, kalau mereka dah suka sesuatu lagu, mereka akan berdiri dan terus menari dan sing along. Sudah tentu ia mampu memberi semangat kepada peserta yang sedang membuat persembahan.
3. Astro Kembali Mencari Bakat Baru, Bukan Fokus Kalangan Artis
Sejak beberapa tahun ini, Astro kerap mengadakan pertandingan nyanyian untuk golongan artis seperti Gegar Vaganza, Big Stage dan sebagainya.
Dengan adanya ATNMY, program ini sangat mengalukan kedatangan bintang baru ke dalam industri hiburan tanah air.
Malah, perkara ini turut diakui oleh Ketua/Kapten Juri, Dato' AC Mizal dalam sidang media melancarkan ATNMY baru-baru ini.
4. Sherry Alhadad Selaku Hos
Bagi saya, Sherry boleh dikatakan loveable, karakternya yang mencuit hati dan tidak menyentuh perkara sensitif ketika mengacara sememangnya disukai ramai.
Berdasarkan episod semalam, walaupun mengacara berseorangan, Sherry berjaya buktikan dia mampu lakukannya dengan baik!
5. Peserta Berbilang Kaum & Berbeza Lapisan Umur
Ini juga satu perkara yang saya suka tentang ATNMY, program ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada umur tertentu.
Dalam episod satu, kita dapat lihat penyatuan Melayu, Cina dan India serta golongan dewasa dan kanak-kanak, semuanya atas pentas yang sama!
Dalam kebanyakan program realiti sebelum ini, biasanya had umur adalah salah satu perkara yang dititikberatkan dalam syarat penyertaan.
Demikianlah lima sebab mengapa anda perlu menonton ATNMY.
Saya sendiri berpeluang hadir ke sesi rakaman dengan pematuhan SOP dan syarat kesihatan yang ketat, jadi dari apa yang saya lihat, banyak lagi kejutan dan perkara positif bakal menanti anda!
Jangan lupa saksikan ATNMY pada setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria.
Ia juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan kemudahan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
NOTA: #ListenToAided ditulis berdasarkan pandangan/pendapat peribadi penulis berkaitan dunia muzik tempatan dan antarabangsa. Penulis juga menghormati pendapat pembaca yang mungkin berbeza atau bercanggah.