Laman Utama
#ListenToAided: Penyanyi Popular Sekejap, Salah Siapa?
Alhamdulillah, Isnin datang lagi dan saya kembali menulis kolum ini.
Kali ini, #ListenToAided ingin menyentuh satu isu yang seakan tidak pernah berhenti dalam industri muzik di Malaysia mahupun antarabangsa.
Penyanyi popular sekejap, tak kiralah menerusi beberapa lagu atau one hit wonder!
Adakah kejadian sebegitu berlaku disebabkan kehadiran penyanyi baru yang tidak henti seperti cendawan tumbuh selepas hujan? Atau adakah ia disebabkan kurangnya idea atau kemahiran seseorang penyanyi atau kumpulan pengurusan mengatur langkah?
Tidak dinafikan rezeki setiap manusia ditentukan oleh Allah SWT, tetapi kadang-kadang kita menyaksikan betapa bagusnya kualiti vokal, persembahan dan pelbagai aspek lain pada seorang penyanyi yang muncul, namun tidak lama selepas itu, dia hilang dibawa lagunya yang tidak lagi digemari ramai atau karya-karya yang lain tidak diketahui peminat.
Pada pendapat saya, seseorang artis itu perlu sentiasa keluar dari zon selesa dan tahu mengadaptasi diri dengan perubahan citarasa peminat seiring peredaran zaman.
Kita ambil contoh, Datuk Seri Siti Nurhaliza, ya, Siti memang punya vokal luar biasa, persembahan konsert beliau mampu membuatkan penonton meremang bulu roma. Tetapi, perhatikan perjalanan kerjaya beliau, Siti sudah cuba macam-macam lagu, dari balada, etnik kreatif, pop dan macam-macam lagi, malah penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini pernah menyanyikan lagu Inggeris miliknya sendiri!
Bagi saya, Siti sedar dan peka dengan peredaran zaman lalu beliau mencuba ikut rentak para peminat. Dari situ, namanya sentiasa mendapat perhatian dan terus memegang takhta penyanyi nombor satu negara.
Tidak kurang penyanyi bersuara emas, Datuk Jamal Abdillah, meskipun punya identiti suara macho yang tak pernah berubah, namun Jamal pun bijak mengatur langkah. Liihat sahaja kolaborasinya bersama penyanyi muda Wany Hasrita menerusi lagu Belenggu Rindu.
Bagi saya, kolaborasi sebegitu terus mengukuhkan penjenamaan dirinya dalam industri sekaligus memperkenalkan nama Jamal Abdillah kepada generasi muda.
Justeru, seseorang penyanyi baru tidak harus gentar dalam mencuba pelbagai perkara baru dan tidak terlalu terikat dengan satu cara sahaja. Tidak semestinya mencuba pelbagai genre akan mengganggu identiti seseorang penyanyi bukan?
Apa yang penting, selagi berpeluang, seseorang penyanyi seharusnya tidak mudah berputus asa dan 'buat sampai jadi'!
Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan mana-mana penyanyi yang sudah berusaha keras dan mencuba macam-macam namun nama masih kurang mendapat perhatian, mungkin mereka masih belum ada rezeki atau ada sesuatu yang lebih hebat menanti mereka pada masa akan datang.
Selain mengatur langkah diri sendiri, seseorang penyanyi juga haruslah mempunyai pasukan pengurusan yang tahu buat kerja, dari label, jurugaya, pengurus, pembantu peribadi dan macam-macam lagi. Kadang-kadang soal sebegini dikatakan tuah seseorang, tetapi perkara ini juga pernah diakui penyanyi senior hebat Liza Hanim sewaktu saya menemubualnya satu ketika dahulu.
Apapun, dalam apa jua bidang pekerjaan, kita harus sentiasa berusaha sebaiknya dan tahu menggunakan peluang yang ada, kemudian kita serahkan segalanya kepada Allah SWT kerana Dialah yang maha pemurah dan maha memberi rezeki.
Semoga kita bertemu lagi dalam #ListenToAided minggu hadapan, take care and stay safe!
Must-Watch Video