Laman Utama
#ListenToAided: Sade & Aura Muzik Evergreen
Sudah lama saya ingin menulis tentang penyanyi antarabangsa yang bukan calang-calang ini.
Kebetulan ketika bersarapan pagi tadi, saya memainkan beberapa lagunya seperti No Ordinary Love, Smooth Operator dan Hang On To Your Love. Lantas terdetik dalam fikiran, this is the right time! It's about now or never!
Sade bukanlah satu nama asing bagi yang mengikuti perkembangan muzik antarabangsa sejak era 80'an. Namun mungkin nama ini agak kurang mendapat perhatian dalam kalangan generasi muda hari ini.
Terima kasih kepada sepupu saya, Datin Raha Abu kerana memperkenalkan lagu-lagu Sade suatu ketika dahulu. Manakan tidak, minat saya sebagai 90's kid sebelum ini cenderung kepada lagu-lagu NSYNC, Britney Spears, Blue, No Doubt dan sebagainya.
Sade, 62, atau nama sebenarnya Helen Folasade Adu dilahirkan di Ibadan, Nigeria dan memiliki darah campuran Inggeris-Nigeria. Beliau dibesarkan di England sejak berusia 4 tahun ekoran perpisahan ibu bapanya.
Beliau mula menjadi vokalis untuk kumpulan yang memakai namanya sendiri, Sade sekitar awal 80'an dan album sulung mereka berjudul Diamond Life merupakan album paling laris ketika itu. Selain Sade, kumpulan itu dianggotai Paul S. Denman, Andrew Hale dan Stuart Matthewman.
Lagu-lagu Sade mempunyai kelas tersendiri, dengan genre yang mencampurkan elemen jazz, soul dan pop, sudah tentu melodinya tenang dijadikan halwa telinga.
Memegang profil sebagai salah seorang penyanyi wanita British paling berjaya, album studio Sade secara keseluruhan sepanjang kerjayanya telah terjual melebihi 50 juta unit.
Lebih membanggakan, hasil jualan tersebut diperolehi daripada enam album studio sahaja iaitu Diamond Life (1984), Promise (1985), Stronger Than Pride (1988), Love Deluxe (1992), Lovers Rock (2000) dan Soldier Of Love (2010).
Jika diperhatikan, kumpulan ini agak mengambil masa untuk melancarkan album mereka. Ia dapat difahami melalui penjelasan Sade di laman web rasmi kumpulannya, sade.com.
"Saya hanya buat rakaman apabila saya rasa ada sesuatu untuk diperkatakan, saya tak berminat melancarkan muzik yang hanya bertujuan untuk jualan semata-mata," katanya.
Untuk penganugerahan pula, tentunya Sade menerima pelbagai anugerah besar antaranya Grammy.
Memetik catatan di laman web rasmi Grammy, Sade telah memenangi kategori Artis Baru Terbaik (1985), Persembahan R&B Duo/Kumpulan dengan Vokal (1993), Album Pop Vokal Terbaik (2001) dan sekali lagi merangkul Persembahan R&B Duo/Kumpulan dengan Vokal pada tahun 2010.
Selain gah dalam bidang nyanyian, Sade tidak pernah gagal berfesyen, yes, music and fashion must be in parallel! Oleh kerana pernah menuntut bidang fesyen di St Martin's School Of Art di London, mungkin segala pengalaman dan ilmu diterapkan dalam identiti gaya dirinya.
Gaya fesyen ikonik dan effortless diiringi bakat luar biasa melayakkan lagi Sade dilabel sebagai ikon dan legenda sepanjang zaman!
Meskipun album terakhir Sade dilancarkan 11 tahun lalu dan jarang membuat kemunculan, namun lagu-lagu mereka tetap malar segar dan masih sesuai dimainkan dimana-mana sahaja.
Sebelum mengakhiri kolum ini, saya kongsikan beberapa video persembahan Sade buat anda semua. Enjoy!
No Ordinary Love - Sade Live World Tour 2011
King Of Sorrow - Sade Live World Tour 2011
Hang On To Your Love - 1984
By Your Side - 2000
Smooth Operator - 1984
Sumber : chartmasters.org , grammy.com & sade.com
Kredit Foto : sade.com , NME & Biography
Must-Watch Video