Macam-macam ragam yang ditunjukkan netizen setiap kali munculnya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media.

Jika sebelum ini penampilan baju batiknya yang dipakai disamakan seperti juadah makanan, kali ini barang perhiasan rumahnya pula mencuri tumpuan.

BACA: "Dua Kali Pandang Nampak Menyelerakan Pula" - Baju Batik Ismail Sabri Disamakan Juadah Enak Bulan Ramadan, Emm... Sedapnya!

Gelagat netizen yang menyaksikan sesi live Ismail di Facebook yang bersiaran dari kediamannya itu menjadikan ruangan komen seolah-olah sedang menyaksikan peniaga online mempromosikan produk jualannya.

Hal ini kerana, Ismail melakukan sesi live berlatarbelakangkan perabot yang menempatkan beberapa koleksi barang perhiasan di satu sudut di rumahnya.

Antara yang menarik minat netizen termasuklah topi keledar, keris, bola dan tengkolok.

Di ruangan komen, rata-rata mereka menggunakan istilah 'lock' yang sering digunapakai pelanggan ketika berinteraksi dengan penjual untuk membeli.

Hal tersebut turut mencuit hati menantunya, pereka fesyen Jovian Mandagie di Instagram yang terhibur dengan gelagat netizen terhadap bapa mentuanya itu menerusi perkongsian beberapa paparan tangkap layar ketika sesi live tersebut.







Bahkan, antara komen lucu yang ditinggalkan netizen apabila ada yang meminta bapa kepada penyanyi Dafi itu untuk beralih ke tepi sedikit semata-mata mahu melihat barangan lain yang terlindung.



Apa yang pasti, ragam lucu netizen turut mendapat perhatian Ismail sendiri yang menyedari hal tersebut.

"Pak Long terbaca juga komen-komen kalian selepas sidang media perkembangan Covid-19 (Non-Health) tadi.

"Ramai juga ya yang nak bida baju Pak Long dan barang perhiasan di belakang seperti helmet, bola, tengkolok dan sebagainya.

"Apa-apa pun terima kasih dan #staysafe semua," tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.



Ismail kini sedang menjalani sesi kuarantin kendiri di rumah selepas menjadi kontak rapat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri disahkan positif Covid-19.