HIBURAN
Liyana Jasmay Duduk Kerusi Pengarah! Putri & Phrince Bongkar Gelapnya Dunia Populariti Remaja
Viu, perkhidmatan penstriman video OTT terkemuka mempersembahkan siri drama terbaharu Putri & Phrince (Secrets at 17) yang akan mula ditayangkan pada 21 Ogos 2025.
Diarahkan oleh pelakon popular yang kini bergelar pengarah, Liyana Jasmay, siri 12 episod ini mengangkat tema tekanan media sosial, dwi identiti, bahaya kemasyhuran dalam talian serta dilema sosial remaja sekolah menengah.
Dengan sentuhan segar, Liyana menyelami emosi dan cabaran moral generasi Z dalam dunia digital yang penuh kontradiksi.
Berlatarbelakangkan Institut Kasturi, sebuah sekolah berprestasi tinggi, kisah ini mengisahkan Putri Jasmine Dzulkarnain lakonan Nesa Idrus yang sering menjadi mangsa buli pelajar paling popular, Erica Datuk Harris lakonan Fara Nadiah.
Tidak mahu terus ditekan, Putri mencipta identiti rahsia di media sosial dengan nama @KarmaKween untuk mendedahkan sisi gelap pelajar elit sekolah, bermula dengan Erica sendiri.

Populariti @KarmaKween melonjak pantas sehingga setiap pelajar menanti gosip baharu sambil bimbang rahsia mereka terbongkar. Putri mula dikenali di sekolah dengan sokongan sahabat karibnya Lola lakonan Khayrisyah Kemal dan pelajar baharu yang diminati ramai, Phrince lakonan Badron Munirah.
Namun semakin banyak rahsia terbongkar, semakin besar pula risikonya terutama apabila kemunculan Aidil lakonan Nik Rifaie, seorang pelajar berprinsip tegas, mula menggugat keadaan dengan agendanya tersendiri. Drama ini mengangkat persoalan sejauh mana seseorang sanggup melangkaui batas demi melindungi imej mereka.
Putri & Phrince menampilkan barisan pelakon baharu yang sedang meningkat naik serta pempengaruh yang kini beralih ke dunia lakonan, termasuk Nesa Idrus, Badron Munirah, Fara Nadiah, Nik Rifaie, Khayrisyah Kemal dan Farihin Arnia, di samping pelakon terkenal Adriana Adnan yang dikenali melalui Seribu Nina dan Journal Sara-haeyo.
Menurut Pengarah Kreatif Viu Malaysia, Steven Lim, pihaknya berbangga dapat menjalin kerjasama dengan Liyana Jasmay dan Mermaid Studios.
"Putri & Phrince menunjukkan bagaimana identiti dan reputasi terbentuk dalam dunia di mana media sosial menjadi penentu segalanya, sambil menampilkan wajah-wajah baharu yang segar dan autentik. Inilah penceritaan relevan yang diinginkan penonton kami," katanya.
Viu Malaysia terus mencipta impak dengan seleksi drama yang dekat dengan generasi muda dan penonton tempatan. Gadis Masa baru-baru ini meraih pencalonan di International Streaming Festival Global OTT Awards 2025, manakala Abang Imam Minah Skuter menduduki carta dua teratas tontonan Viu Malaysia selama tiga minggu berturut-turut.
Ikuti perkembangan terkini di Facebook, Instagram, YouTube, X dan TikTok. Muat turun aplikasi Viu di App Store, Google Play, Huawei AppGallery dan TV Pintar atau layari www.viu.com.
Must-Watch Video