Pelakon popular era 1980-an, Liza Abdullah bersyukur majlis pernikahan anak perempuannya Nurnaffiz Syahiddah Zolkefli, 27, berjalan dengan lancar walaupun terpaksa diadakan ketika sedang menjalani Perintah Kewalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Majlis pernikahan tersebut berlangsung di rumah ibu saudara pengantin perempuan di Shah Alam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, pada Sabtu lalu.

"Kalau ikut perancangan asal majlis nak buat dalam dewan, meriah-meriah. Angan-angannya begitulah.

“Tapi kita hanya merancang, Tuhan juga yang menentukan…Kita diuji dengan pandemik COVID-19, jadi semuanya hanya tinggal perancangan.

"Bagaimanapun kita teruskan juga walaupun tak boleh nak jemput ramai. Ada juga yang terasa hati dan ralat tak dapat undangan, tetapi saya harap mereka dapat memahami situasi hari ini.

"Saya bersyukur majlis berlangsung dengan seadanya. Hanya teman rapat seperti Datuk Shah Rezza, Datuk Ziela Jalil dan beberapa kenalan lain dijemput," katanya.

Dalam pada itu Liza berkata selepas majlis pernikahan anak keduanya, anak sulung Zulhaffiza Zariq pula bakal menyusul pada Disember ini.

"Insya-Allah anak sulung, Zulhaffiz Zariq pula akan berkahwin pada Disember depan," katanya.

Liza juga merancang untuk membuat majlis resepsi kedua-dua anaknya itu pada Februari tahun hadapan.

“Jika diizinkan Allah, tak ada aral melintang Februari 2021 saya akan jemput semua kawan-kawan,” katanya teruja.

Untuk pengetahuan, Nurnaffiz Syahiddah atau lebih mesra disapa Naffiz itu merupakan salah seorang daripada ahli keluarga Gempak!

We are happy for you Naffiz...Tahniah!

Foto: Instagram: @fiyfo @artsandyouofficial