"Lizzie McGuire Kembali Tapi Sudah Dewasa!" - Hillary Duff

Fiza Kamarudin
Ogos 25, 2019 17:43 MYT
Penyanyi dan pelakon popular Hollywood, Hillary Duff bakal kembali bersama drama sitkom bersiri terbitan Disney, Lizzie McGuire.
Perkara tersebut telah diumumkan Disney di Karnival Disney+ D23 Ekspo dan naskah skrip siri sekuel itu bakal ditulis oleh penulis asal, Terri Minsky.
Ia merupakan projek terbaharu Minsky bersama-sama syarikat penerbitan Disney Channel.
Namun, menurut Hilary Duff yang merupakan pelakon utamanya, kini watak itu semakin dewasa dan jalan cerita serta cabaran yang dilalui Lizzie juga semakin mencabar.
"Lizzie sudah dewasa. Dia lebih berusia, lebih bijak. Dia nampaknya mempunyai duit belanja yang jauh lebih banyak untuk membeli kasut.
"Dia juga kini mempunyai pekerjaan impiannya, kehidupan yang sempurna serta menjadi anak didik kepada penghias di bandar New York yang serba mewah,” kata Hilary Duff ketika ditemubual di acara Disney+ D23 di Anaheim.
Tambahnya, Lizzie juga kini mempunyai teman lelaki yang memiliki sebuah restoran mewah dan Lizzie juga sedang bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30.
Terdahulu, siri "Lizzie McGuire" telah bersiaran selama dua musim di Saluran Disney dari tahun 2001 hingga 2004.
Ia mengisahkan tentang kehidupan remaja berusia 13 tahun yang menempuhi pelbagai situasi dan cabaran sebagai seorang pelajar sekolah menengah.
Drama tersebut telah membantunya mencipta nama sebagai pelakon popular sekitar tahun 2000.
Siri asal drama itu dibintangi Lalaine, Adam Lamberg, Jake Thomas, Hallie Todd dan Robert Carradine.
Bagaimanapun, watak rakan-rakan karib serta ahli keluarga Lizzie belum disahkan akan membuat kemunculan semula.
Ia diterbitkan oleh Stan Rogow Productions dan Disney Channel Original Productions dan disiarkan oleh Buena Vista Television.
Pada 2003, Lizzie McGuire turut mempunyai filem bertajuk "The Lizzy McGuire Movie," yang berjaya mengutip lebih AS$55 juta serta pecah panggung disebabkan fenomena siri itu sendiri.
Foto: Carian Google (perezhilton.com)
#Hollywood #Hollywood #Hillary Duff #Lizzie Mcguire