Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Louis Vuitton Dikecam Sailang Budaya! Ini 5 Perkara Anda Perlu Tahu Tentang Skaf Keffiyeh Palestin Ini

Asraf Aided
03/06/2021 13:10 MYT
Jenama fesyen terkenal, Louis Vuitton (LV) menerima kecaman ekoran didakwa melakukan pengambilan budaya (cultural appropriation) selepas menjual skaf diinspirasikan dari Keffiyeh yang sinonim dengan masyarakat Palestin.

Malah, skaf dari jenama mewah Perancis itu dijual pada harga 705 USD (sekitar RM2900) setiap sehelai.

Berdasarkan foto yang dimuat naik di laman web LV Amerika Syarikat, skaf itu dihasilkan untuk lelaki dalam warna biru dan menampilkan rekaan logo LV dicampuri corak tradisional Keffiyeh.

Perkara ini turut disuarakan menerusi akaun Instagram Diet Prada yang turut menyelar tindakan jenama berkenaan.

Meninjau ruangan komen perkongsian itu, rata-rata netizen tidak berpuas hati dan menganggap LV sebagai kapitalis dan mengaut keuntungan daripada budaya masyarakat lain.

Walhal, jika dicari dalam pelbagai platform jualan online, sehelai skaf Keffiyeh boleh didapati pada harga sekitar RM10 hingga RM20 sahaja.

A post shared by Diet Prada ™ (@diet_prada)







Dalam pada itu, Gempak senaraikan lima info mengenai skaf Keffiyeh yang perlu anda tahu.

1) Keffiyeh selalunya dipakai di kepala dan leher, mempunyai cetakan hitam dan putih. Ia merupakan simbol kenegaraan di Palestin sejak Pemberontakan Arab pada 1936 hingga 1939.

2) Selain Keffiyeh, ia turut digelar dengan nama lain seperti Syal, Shemagh, Syal Arab, Hatta Palestinian, Yamegh dan Igal. Malah, Nabi Muhammad SAW pun memakai kain seperti ini.

3) Cara pemakaiannya mempunyai maksud dan kegunaan berbeza, maksud itu juga berbeza bergantung pada sesebuah lokasi dan budaya setempat.

4) Di Palestin, Keffiyeh juga dipakai dalam protes solidariti dan demonstrasi lalu membuatkan ia terkenal secara meluas.

5) Keffiyeh pernah digunakan oleh petani untuk melindungi diri dari matahari, pasir dan melindungi diri ketika cuaca sejuk.

Hari demi hari, Keffiyeh semakin popular di negara-negara Arab sebagai simbolik perlawanan dan solidariti terutamanya di Palestin dalam konflik bersama Israel.

Baru-baru ini, supermodel Bella Hadid juga kelihatan memakainya ketika berdemonstrasi menyokong Palestin di Brooklyn, New York.




Sumber: Wikipedia, Instagram Diet Prada & Liputan6
Kredit Foto: Dazed (Bella Hadid) & Louis Vuitton
#Perancis #Palestin #Jenama #Budaya #Louis Vuitton #Keffiyah
;