Tiga penyanyi berbakat, Indah Ruhaila, Wani Kayrie dan Nadeera Zaini tampil dengan lagu raya terbaharu berjudul Balik Raya.

Istimewanya lagi, ini merupakan kali pertama Indah, Wani dan Nadeera digandingkan dalam sebuah single Raya.

Lagu Raya dalam nuansa pop moden dengan elemen klasik ciptaan komposer muda berbakat iaitu Rushdan ini telah mengambil masa selama dua bulan untuk dihasilkan secara berperingkat.

Bermula dengan proses rakaman secara berasingan bagi setiap artis terlibat dan kemudiannya digabungkan menjadi sebuah karya yang lengkap.

Menariknya lagi, pelancaran muzik video Balik Raya ini dilakukan di Centre Court, Pavilion Bukit Jalil pada Sabtu.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Prem Anand berkata gabungan paduan suara tiga penyanyi berbakat merupakan buah tangan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

“Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, Rocketfuel pasti ada buah tangan terbaharu setiap kali bulan Ramadan menjelma.

“Demi menyemarakkan lagi bulan puasa pada tahun ini, kami gandingkan tiga artis sekaligus untuk hiburan anda semua.

“Semoga lagu ini terus terpahat di ingatan pendengar setiap kali Hari Raya dan terus trending di media sosial,” ujarnya.

WRAP SEKITAR JAM 5 PAGI

Sementara itu, ahli terbaharu keluarga besar Rocketfuel Entertainment, Indah berkongsi pengalaman merakamkan muzik video Balik Raya yang tidak akan dilupakan.

“Bayangkan kami melakukakan proses penggambaran muzik video ini selama 24 jam dan kesemuanya selesai sekitar jam lima pagi.

“Penggambaran dilakukan sebelum bulan puasa lagi dan lokasinya adalah di Sekinchan. Paling seronok bila dapat bekerjasama dengan rakan-rakan artis lain yang berada di bawah satu bumbung.

“Lebih lmenarik lagi bila Wani dan saya sempat mencipta koreografi sendiri sewaktu penggambaran dan semoga menjadi dance challenge di media sosial nanti,” katanya teruja.

Lagu Balik Raya boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Lagu ini juga boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Muzik video Balik Raya pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube.