Pemenang kategori vokal dan persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu 34, Hafiz Suip tampil dengan single terbarunya berjudul Sinar Cinta.

Masih mengetengahkan rentak balada, lagu edaran Nova Music ini masih menerima sentuhan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali yang berkolaborasi bersama John Jeevasingham.

Menurut Hafiz, sebagai penyanyi dia cuba menzahirkan emosi lagu yang dirakamkan sebaik mungkin mengikut terjemahannya tersendiri.

“Sekalipun sudah kerap menyanyikan lagu balada yang dianggap ramai sebagai ‘forte’ atau makanan saya, setiap lagu itu memberikan cabaran tersendiri.

"Dalam hidup ini pun kita sendiri sudah terbiasa bermain dengan emosi. Saya cuba gunakan apa yang dirasai untuk meresapi ‘roh’ bagi lagu ini," katanya.

Tambah Hafiz, dia juga cuba menzahirkan emosi cinta itu terhadap isteri dan keluarga yang saya sayangi menerusi lagu ini.

"Cinta saya terhadap mereka lahir tanpa syarat dan di tahap infiniti. Semoga Sinar Cinta yang mekar sejak sekian lama itu akan terus kekal sampai ke syurga,” katanya.

Difahamkan lagu Sinar Cinta bakal menjadi lagu runut bunyi bagi filem Seindah Tujuh Warna Pelangi.

Drama berkenaan yang dibintangi Aeril Zafrel, Nabila Razali dan Hun Haqeem akan mula bersiaran mulai 24 Februari ini.

Anda boleh dengar lagu Hafiz terbaru ini di bawah.