Selepas namanya menjadi bualan hangat masyarakat dan trending di laman sosial Twitter, kini tular video Ustaz Ebit Lew dilihat meluahkan perasaan berkaitan isu yang dibangkitkan terhadap dirinya.

Menerusi sebuah video dengan durasi sekitar 2 minit, Ebit dipercayai mengulas tentang kemelut yang disifatkan sebagai ujian buatnya sambil menitiskan air mata.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada ia merupakan video baharu dari figura yang terkenal dengan kerja amal dan kemasyarakatannya atau potongan video lama. Apalagi video tersebut tidak terdapat dalam platform media sosial rasmi milik Ebit.

Namun menerusi video tersebut, Ebit yang baru kehilangan ayah tercinta kerana dijemput Ilahi dilihat mengulas mengenai usaha baiknya yang dibenci orang sehingga membuat dirinya berasa sedih.

"Saya susah nak benci orang, susah nak lawan, susah nak kata siapa siapa, susah nak bergaduh dengan sesiapa.

"Tapi kebelakangan ini orang tak berhenti datang. Semua orang nak cari gaduh dengan saya. Semua orang nak cakap bukan bukan dekat saya. Saya jadi sedih," kata Ebit yang memakai baju berwarna biru dengan sebak.

Tanpa menyebut nama sesiapa, Ebit kemudian mengatakan dirinya tidak pernah bimbang berhadapan dengan manusia, sebaliknya hanya gentar terhadap Allah kerana percaya hidup dan matinya ditentukan oleh yang Maha Esa.

"Saya memang tak takut siapa siapa dari kecil. Saya cuma tahu hidup dan mati saya Allah yang tentukan.

"Saya tak suka nak balas orang mesej bukan bukan, ugut saya pun saya tak balas. Setakat kata kata saya tak kisah tapi bila melibatkan macam macam orang kan, saya jadi sedih, jadi sayu," katanya lagi.

Ebit kemudian melanjutkan bicara dengan: "Saya jadi sedih walau kita cuba nak bawa kasih sayang, pun ada orang nak benci ada orang nak lawan."

Pendakwah bebas kesayangan rakyat Malaysia itu menegaskan segala sesuatu yang dilakukannya adalah mahu disayangi Allah.

"Saya cuma nak cakap, saya buat semua benda ni untuk Allah sayang kita," sambil meninggalkan pesanan apapun bangsa dan agama kita semua adalah saudara.

Terdahulu nama Ebit menjadi hangat selepas rapper Caprice baru baru ini mendakwa kecewa atas kejadian kecil di Gaza, Palestin dan sedih dengan sikap Ebit yang menyekat dirinya dari mengikuti beliau di akaun Instagram.

Instagram: @ebitlew