Selepas kontroversi antara pelakon dan pengacara Janna Nick dengan peminat Kpop pada bulan Februari lalu, kali ini timbul pula satu lagi isu yang melibatkan seorang anak muda lelaki.

Lelaki ini menjadi perbualan ramai di media sosial selepas dia bertindak seolah-olah meludah wajah Lisa yang merupakan anggota kumpulan Blackpink.

"Tahu air apa ni? Inilah air plastik," kata lelaki itu sambil memegang botol minuman air jenama popular yang dihiasi muka Lisa.

Sebelum mengakhiri rakaman 10 saat, lelaki itu kelihatan meletakkan semula botol minuman itu ke dalam peti sejuk selepas diludah.

Difahamkan, perbuatan jijik itu dilakukan di dalam sebuah kedai serbaneka.

Video lelaki tersebut dimuat naik di aplikasi TikTok miliknya sebelum dikongsi semula oleh seorang pengguna Twitter, @darryiskandar.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang bersifat pengotor.

Justeru, mereka memohon agar tindakan undang-undang diambil kerana telah menimbulkan kerisauan berikutan penularan COVID-19.

"Garis Panduan dan Operasi Standard (SOP) kena jaga tetapi ludah-ludah takpa ka macam mana? Buat sesuatu @PDRMsia.

"Pengotor! Kalau tak suka pun jangan la ludah, orang lain nak beli.. Takut-takut si peludah tu positif COVID.

"@PDRMsia dan @KKMPutrajaya tolong ambil tindakan terhadap individu ini kerana merebakkan virus korona dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam," antara respon balas yang diterima.

Hasil pemerhatian Gempak, akaun yang menggunakan nama Muhd Zikri itu mempunyai 13 orang pengikut (followers) dan sudah dikunci dalam mod private.


Twitter: @darryiskandar